Utama Automotif Proton akan menghasilkan kereta berteknologi tinggi, kenderaan elektrik di Tanjung Malim –...

Proton akan menghasilkan kereta berteknologi tinggi, kenderaan elektrik di Tanjung Malim – CEO Dr Li Chunrong

962
0
Proton Kereta Elektrik Tanjung Malim

Ketua Pengarah Eksekutif Proton Dr Li Chunrong memaklumkan pengeluar kereta nasional ini akan membangunkan kereta berteknologi tinggi dan kenderaan tenaga baharu tidak lama lagi. Beliau memaklumkan menerusi satu komen di dalam laman Facebook peribadi beliau lanjutan dari pelancaran Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim baru-baru ini.

Kelak Proton akan menghasilkan kenderaan tenaga baharu sendiri hasil dari pembangunan fasiliti baharu berkenaan. Kenderaan tenaga baharu (NEV) merupakan istilah yang merangkumi kenderaan elektrik sama ada hibrid atau elektrik sepenuhnya. Dalam pada masa yang sama, Proton turut merancang untuk memperluaskan pengeluaran kenderaan tersebut untuk pasaran eksport.

Berdasarkan artikel kajian oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB), pengeluar kereta nasional ini akan melaksanakan pengeluaran kenderaan hibrid sebelum bergerak ke arah elektrik sepenuhnya. Kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya ini disasar dapat dilancarkan pada 2027.

Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Proton Roslan Abdullah turut memaklumkan Proton kini mempunyai hala tuju ke arah memperkenalkan kenderaan hibrid, PHEV dan juga EV.

Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim ini akan memfokuskan pada teknologi dan sistem baharu di dalam industri automotif. Antaranya pengelektrifikasian, kecerdasan buatan, teknologi berautonomi dan ketersambungan lanjutan. Projek yang disasarkan bakal mewujudkan sebanyak 370,000 peluang pekerjaan ini juga disasar akan menjadi sebuah hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.