
KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI 2025 – Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) edisi pertama: Navigating the Tech Frontier, sebuah inisiatif kolaboratif antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), telah berjaya menamatkan bab pertamanya. Pencapaian ini diraikan dalam satu majlis graduasi yang dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bagi menghargai kumpulan pertama yang terdiri daripada 50 pemimpin terkemuka dari sektor kerajaan, industri, dan akademia.
“Melalui inisiatif seperti Program DLE, kita bukan sahaja mengukuhkan daya saing global tetapi juga memacu pertumbuhan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.” kata Fahmi dalam ucapannya semasa majlis graduasi yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliauturut memuji SKMM dan Huawei Malaysia atas komitmen mereka dalam menjayakan program transformasi ini, menyatakan bahawa usaha mereka memainkan peranan penting dalam memperkasakan pemimpin dari sektor kerajaan, swasta, dan akademia dengan kemahiran serta pengetahuan asas untuk mentakrifkan semula penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuhkan industri.
Dilancarkan pada Mac 2024, Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) diperkenalkan sebagai tindak balas langsung terhadap seruan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023, yang dianjurkan oleh Huawei Malaysia, bagi merapatkan jurang antara kepimpinan dan teknologi.
Program ini mensasarkan untuk melahirkan 300 Pemimpin Digital Malaysia menjelang 2026. Matlamat utamanya adalah untuk melahirkan pemimpin dengan pengetahuan serta alat yang diperlukan bagi menerajui transformasi digital dalam organisasi masing-masing dan meningkatkan kecekapan operasi. Bab kedua program DLE menyasarkan 100 peserta, manakala bab ketiga dan terakhir akan melibatkan 150 peserta.
“Kami di Huawei berbangga menjadi rakan kepada anda semua, para ‘pemimpin digital’ yang hadir hari ini, dalam membangunkan ekosistem bakat yang akan melonjakkan negara ini sebagai kuasa digital utama di rantau ini. Projek Capstone anda sangat menginspirasi. Idea dan pemikiran anda menjadi benih motivasi kepada pembangunan kami. Ketika anda belajar daripada kami, ketahuilah bahawa kami juga belajar daripada anda. Kami kini teruja untuk bekerjasama dengan anda dalam mempercepatkan transformasi digital dan pintar,” kata Mr Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia.
Majlis graduasi diakhiri dengan pembentangan Laporan Capstone, yang merangkumi pembelajaran kolektif dan pandangan inovatif para graduan.
Program DLE merupakan inisiatif latihan hibrid intensif selama lapan bulan, meliputi bidang utama seperti 5G, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Pengkomputeran Awan, Data Raya, Teknologi Hijau, dan Keselamatan Siber. Program ini diakhiri dengan lawatan industri ke China, di mana peserta berpeluang bertemu dengan syarikat teknologi global terkemuka.
Semasa lawatan industri untuk kumpulan pertama DLE, peserta telah mengunjungi syarikat seperti Da-Jiang Innovations (DJI) dan BYD Company Limited. Mereka juga melawat Kampus Penyelidikan Huawei yang seluas 1.4 kilometer persegi di Dongguan, memperoleh pendedahan terhadap teknologi baharu serta mengambil bahagian dalam projek berkumpulan bagi menghasilkan projek capstone yang menangani cabaran Malaysia, sekaligus menunjukkan kesan praktikal daripada pembelajaran mereka.
Dengan menekankan pembelajaran berterusan, kepimpinan, dan inovasi, program DLE sedang membentuk masa depan yang lebih inklusif, lestari, dan berdaya teknologi untuk Malaysia.