WhatsApp telah memperkenalkan sejumlah pilihan pelekat baharu untuk kemaskini aplikasi Android melalui penambahan integrasi pustaka pelekat GIPHY. Ia membolehkan pengguna membuat carian pelekat menggunakan teks atau emoji dari GIPHY terus dari aplikasi.
Selain itu, WhatsApp juga telah memperkenalkan pembuat pelekat tersuai untuk pengguna Android yang sebelum ini hanya tersedia pada iOS. Alatan ini membolehkan anda menghasilkan pelekat yang diperibadikan dengan menukar imej-imej kepada pelekat atau mengubah yang sedia ada dengan fungsi pemangkas, teks atau lukisan yang disediakan. Pelekat tersuai juga secara automatik boleh disimpan di dalam dulang pelekat.
Aplikasi permesejan popular berkenaan ini juga kini mempunyai ciri AI Stickers yang menggunakan AI dari Meta untuk menjana pelekat tersuai. Buat masa ini ia tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat pada Android dan iOS. Meta juga pada ketika ini sedang menjalankan ujian untuk bahasa-bahasa lain seperti Sepanyol dan Bahasa Indonesia.
Pengurusan pelekat di dalam aplikasi juga dipertingkatkan oleh Meta. Pengguna kini boleh memindahkan pelekat ke bahagian atas koleksi atau memadamkannya dengan mengetik dan memegangnya. Untuk menambah pelekat, aplikasi ini juga akan menyediakan ciri Sticker Packs baharu secara beransur-ansur kepada pengguna.