Utama Mobile Aplikasi WhatsApp akan perkenalkan ciri Sorokkan Status ‘Online’ Pengguna

WhatsApp akan perkenalkan ciri Sorokkan Status ‘Online’ Pengguna

648
0

WABetaInfo melaporkan WhatsApp kini sedang mengusahakan salah satu ciri privasi yang sering menerima permintaan pengguna iaitu menyorokkan status sedang dalam talian (online).

Ciri ini amat mustahak bagi pengguna yang menitik beratkan soal privasi sungguhpun masih terdapat sebahagian pengguna yang tidak kisah tentangnya.

Seperti biasa, WABetaInfo telah menemukan ciri tersebut menerusi klien WhatsApp Beta. Ciri ini hanya ditawarkan pada versi iOS sahaja buat masa ini, namun WABetaInfo menyatakan WhatsApp sedang merancang untuk memperkenalkan fungsi berkenaan di dalam binaan beta Android dan Desktop melalui kemaskini akan datang.

Untuk melihat tetapan baharu bagi Online Status ini anda boleh pergi ke Settings > Account > Privacy di dalam WhatsApp. Sama seperti fungsi mengubah tetapan Last Seen yang diperkenalkan baru-baru ini, ciri ini juga akan membenarkan pengguna mengehadkannya kepada kenalan lain yang tertentu atau menutup sepenuhnya.

WABetaInfo menyatakan terdapat dua pilihan yang disediakan iaitu “Everyone” dan “Same as Last Seen.” Pilihan “Same as Last Seen” memudahkan pengguna memilih senarai yang sama secara automatik berdasarkan senarai kenalan di dalam tetapan “Last Seen”.

Ciri yang amat dinanti-nantikan oleh pengguna WhatsApp ini mampu memberikan pengguna lebih kebebasan ketika berinteraksi di dalam platform permesejan. Setakat ini WhatsApp tidak memaklumkan bilakah ciri ini akan mula diperkenalkan kepada pengguna umum.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.