Maybank telah mengeluarkan pengumuman yang memaklumkan pengguna mengenai perubahan terkini perkhidmatan perbankan dalam talian dan mudah alih yang ditawarkannya, Maybank2u.
Bermula sejak semalam, sebarang perubahan pada platform berkenaan memerlukan pengesahan melalui Secure2u terlebih dahulu.
Untuk makluman, Secure2u merupakan kaedah Verification satu ketikan atau melalui Secure TAC enam digit. Sebelum ini, kaedah berkenaan digunakan bagi mengesahkan pelbagai transaksi pada Maybank2u atau aplikasi MAE.
Menurut Maybank, penambahan langkah keselamatan ini diperkenalkan bagi menjadikan platform perbankan dalam talian dan mudah alih Maybank2u lebih selamat dan mudah.
Antara fungsi-fungsi yang memerlukan pengesahan Secure2u adalah seperti:
- pengeluaran tanpa kad
- Foreign Telegraphic Transfer (FTT)
- Interbank Fund Transfer (IBFT)
- Interbank GIRO (IBG)
- penandaan kegemaran transaksi pihak ketiga
- pendaftaran perkhidmatan DuitNow
Pengguna yang masih belum mengaktifkan pengesahan Secure2u dinasihatkan untuk melakukan pengaktifan melalui aplikasi Maybank2u atau MAE pada peranti mudah alih.
Isi Kandungan
Cara mengaktifkan pengesahan Secure2u Maybank di dalam aplikasi Maybank2u:
- Pergi ke butang ‘tiga garisan’ pada penjuru kiri atas skrin
- Pilih Secure2u
- Ikuti arahan berikutnya
Cara mengaktifkan pengesahan Secure2u Maybank di dalam aplikasi MAE:
- Ketik pada butang “More” pada penjuru kanan sebelah bawah
- Pilih “Secure2u”
- Pilih “Activate Now”
- Ikuti arahan selanjutnya