Sebuah konsortium Jepun baru-baru ini telah mempertontonkan peranti prototaip berkelajuan tinggi 6G pertama di dunia. Ia mampu memancarkan data pada kelajuan 100 gigabit per saat (Gbps), dalam lingkungan jarak kira-kira 100 meter. Ia merupakan peningkatan lebih dari 20 kali ganda berbanding teknologi 5G yang digunakan pada ketika ini.
Peranti prototaip berkenaan merupakan hasil kerjasama di antara syarikat peneraju telekomunikasi Jepun seperti DOCOMO, NTT Corporation, NEC Corporation, dan Fujitsu.
Konsortium berkenaan juga telah mengumumkan kejayaan hasil keputusan ujian yang dijalankan pada 11 April lalu. Di dalam ujian tersebut didapati peranti prototaip tersebut mampu mencapai kelajuan 100Gbps untuk sambungan di dalam bangunan menggunakan jalur 100 gigahertz (GHz) dan juga di luar bangunan menggunakan jalur 300 GHz pada jarak sekitar 100 meter.
Walaupun mencatatkan keputusan yang membanggakan, ujian 6G berkenaan dilakukan pada satu peranti dan bukannya rangkaian komersil. Tambahan pula teknologi rangkaian tersebut mempunyai kekurangannya yang tersendiri.
Kelajuan 5G secara teorinya mampu mencapai sehingga 10Gbps, namun kelajuannya di dunia sebenar lebih rendah dari itu. Pada kebiasaannya purata kelajuan 5G di Malaysia berada pada paras sekitar 400 Mbps.
Salah satu kelajuan tersebut rendah adalah disebabkan oleh jalur frekuensi yang lebih tinggi digunakan oleh 5G. Sungguhpun frekuensi tinggi boleh membawa kepada kelajuan yang lebih tinggi, ia mempunyai kekurangan dari segi had jarak isyarat tersebut boleh dipancarkan serta kekuatan penembusannya.
Kekangan teknologi rangkaian 6G
Teknologi rangkaian 6G boleh menyebabkan kekurangan tersebut lebih ketara kerana penggunaan jalur frekuensi yang lebih tinggi daripada 5G. Ini bermakna peranti 6G berdepan kesukaran untuk menerima frekuensi yang diperlukan untuk muat turun yang lebih pantas.
Misalnya di dalam ujian yang dijalankan pada jarak kira-kira 100 meter tersebut, ia tidak mengambil kira faktor lain seperti dinding dan juga hujan yang boleh mengganggu isyarat rangkaian 6G.
Jika perubahan daripada 4G kepada 5G memfokuskan pada peningkatan kapasiti data untuk aktiviti seperti penstriman video dan internet mudah alih, rangkaian 6G kelak boleh membawa kepada kemungkinan serba baharu seperti komunikasi holografik masa-nyata dan pengalaman realiti maya dan campuran yang lebih imersif.
Bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mencapai ke tahap tersebut seperti penyediaan infrastrukturnya. Menara-menara pemancar telekomunikasi serta telefon-telefon generasi yang akan datang kelak perlu disediakan dengan sokongan rangkaian 6G sebelum ia memasuki arus perdana.