Isi Kandungan
Apple Macbook keluaran terbaru memiliki satu port USB Type-C, namun begitu ia bukanlah port yang hanya dikhaskan untuk produk-produk Apple semata-mata. Ia adalah piawaian baru untuk sambungan USB. Tidak lama lagi, tidak mustahil jenis sambungan USB terbaru ini bakal menggantikan port dan sambungan USB lama yang lebih besar.
USB Type-C mampu menggabungkan ciri-ciri yang ada pada sambungan USB baru yang lain seperti USB 3.1 untuk faktor kelajuan pemindahan datanya dan USB Power Delivery untuk penambahbaikan kecekapan kadar pemindahan kuasa melalui penyambungan USB.
Bentuk penyambungan baru pada USB Type-C
Penyambungan terbaru ini memiliki ciri fizikal yang lebih kecil. Penyambung ini turut menyokong piawaian penyambungan USB jenis baru seperti USB 3.1 dan USB Power Delivery (USB PD).
Ketika ini, jenis sambungan USB yang biasa kita pakai adalah USB Type-A. Walaupun penggunaan USB telah maju dari USB 1 kepada USB 2, hinggalah ke USB 3, jenis penyambungan Type-A masih lagi tidak berubah. Ia masih lagi hadir dengan saiz yang sama dan hanya boleh dicucuk pada satu sisi sahaja – menimbulkan kesukaran apabila kita cuba menjolok lubangnya di dalam keadaan gelap mahupun ketika kita mahu menjoloknya dari belakang.
Keadaan menjadi lebih celaru apabila peranti-peranti lain seperti kamera dan telefon pintar turut serta mengimplementasikan penyambungan USB. Labuhan (port) untuk USB pada asalnya yang ada pada komputer boleh dikirakan sebagai terlalu besar untuk diletakkan pada peranti-peranti ini. Dari situ, lahirlah pelbagai bentuk dan saiz penyambungan USB seperti penyambung “mini” dan “micro”.
Kepelbagaian penyambung-penyambung USB ini akan dikurangkan dengan kemunculan penyambung USB Type-C ini. Pada saiz satu pertiga lebih kecil dari USB Type-A, USB Type C tidak menimbulkan masalah jika ia dijadikan sebagai labuhan pada peranti-peranti kecil seperti telefon pintar dan kamera digital.
Pada kabel USB Type-C, kedua-dua belah hujungnya adalah USB Type-C. Justeru, memudahkan pengguna melakukan penyambungan diantara peranti-peranti elektronik. Seperkara yang menarik lagi tentangnya adalah penyambungannya boleh dilakukan pada mana-mana sisi. Oleh itu, tiada lagi masalah untuk anda menjoloknya di dalam keadaan gelap mahupun dari posisi belakang.
Labuhan USB Type-C turut menyokong pelbagai jenis protokol penyambungan menggunakan “alternate modes”, justeru menjadikan adapter ini mampu mengeluarkan output dari penyambungan jenis lain seperti HDMI, VGA dan banyak lagi. USB-C Digital Multiport Adapter dari Apple adalah contoh terbaik implementasi ke USB Type-C ini hanya pada satu labuhan sahaja. Kecelaruan pelbagai jenis labuhan dapat dikurangkan melalui penggunaan penyambungan USB jenis baru ini.
USB Power Delivery
Spesifikasi pada USB PD turut terdapat pada USB Type-C. Buat masa ini, kebanyakan telefon pintar, tablet dan peranti-peranti mudah alih menggunakan sambungan USB untuk mengecas. Sambungan USB 2.0 mampu menyediakan kuasa sehingga 2.5 watt – cukup untuk mengecas telefon pintar. Namun, bagaimana pula untuk laptop yang perlu dicas menggunakan kuasa minima 60 watt?
Untuk itu, spesifikasi USB Power Delivery telah direkabentuk khusus mengatasi permasalahan ini dengan kebolehan mampu melakukan pemindahan kuasa pengecasan setinggi 100 watt. Oleh kerana ianya bersifat dua hala, ia mampu membuatkan peranti berkenaan menjadi penerima atau penghantar kuasa.
Apple MacBook baru dan Google Chromebook Pixel telah pun menggunakan labuhan USB Type-C sebagai tempat pengecasan. Pada masa akan datang, ia memudahkan pengguna laptop mengecas dan mendapatkan bekalan kuasa elektrik melalui penggunaan USB Type-C sebagai labuhan untuk adapter.
Bagaimanapun, untuk hal ini pengguna perlu memastikan bahawa peranti dan kabel berkenaan menyokong USB Power Delivery, kerana jika ia sekadar USB Type-C semata-mata tanpa spesifikasi USB PD, ia tidak boleh dicas atau mengecas kuasa.
USB Type-C dan USB 3.1
USB 3.1 adalah piawai terbaru USB. Secara teorinya, lebar jalur USB 3 adalah 5 Gbps, manakala USB 3.1 pula 10 Gbps. Ini menjadikannya dua kali lebih pantas berbanding sambungan Thunderbolt generasi pertama.
Untuk hal ini, USB Type-C tidak dapat dibandingkan dengan USB 3.1. USB Type-C adalah bentuk fizikal sambungan sahaja. Disebalik bentuk fizikal tersebut, teknologi pada USB Type-C ini boleh sahaja menggunakan spesifikasi teknologi piawai USB 2.0 mahupun USB 3.0.
Sebagai contoh pada tablet Android Nokia N1 yang menggunakan penyambungan USB Type-C. Tetapi, ia masih lagi menggunakan spesifikasi USB 2.0 untuk piawaian pemindahan data.
Keserasian Kebelakang (Backward Compatibilty)
Secara fizikalnya, USB Type-C tentu sahaja tidak boleh dipadankan dengan penyambungan USB jenis-jenis sebelumnya. Namun, ia masih lagi boleh digunakan melalui penggunaan adapter. Jika ia menggunakan piawaian teknologi baru seperti USB 3.1 sekalipun, ia masih lagi boleh digandingkan dengan penyambungan USB-USB lama.
Hal ini kerana, spesifikasi yang terdapat pada USB 3.1 masih lagi menyokong teknologi USB generasi-generasi yang terdahulu. Untuk itu, secara realistiknya pengeluar laptop masih lagi menyediakan labuhan untuk USB Type-A walaupun memiliki labuhan USB Type-C sepertimana yang telah dilakukan oleh Google Chromebook Pixel.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, implementasi USB Type-C ini adalah sesuatu yang wajar diraikan kerana ia bakal memudahkan pengguna. Sejak kemunculannya pada Apple Macbook yang terbaru, ia dijangka bakal hadir ke pelbagai peranti-peranti yang akan muncul di pasaran kerana ia bukanlah teknologi eksklusif untuk Apple sahaja.
Tidak lama lagi, tidak mustahil USB Type-C bakal menggantikan penyambungan Lightning pada iPhone dan iPad memandangkan banyak kelebihan pada USB Type-C berbanding Lightning.
-Imej cover diperoleh dari DIYMid
singgah sini….
laptop saya pun macam dah nak rosak jer….
BACA JER RAJIN TAPI LAPTOP ROSAK PANDANG AJELAH..
Ha’ah la betul la pasal masalah nak cucuk usb yg biasa tu, remeh skit. Kekadang biasa tersalah sisi jugak, kalau force jugak sbb ingat ketat, mmg rosak ler port tu hahah…
Saya mmg tak berapa reti bab2 ni.. tau sikit2 & guna je bolehlah.. 😀
I have recently buyed cable from there http://bluefield.com.tw/product/type-c-usb-3-1-hdmi-adapter-bf-116-2404-29/ but its not working, Is any device is required to make a connection with it.