Selepas roti Gardenia dilaporkan tidak cukup bekalan oleh sesetengah pengguna di Semenanjung Malaysia, kini roti Massimo juga mengalami masalah yang sama. Jenama yang dimiliki oleh The Italian Baker (TIB) Sdn Bhd, anak syarikat FFM Berhad ini telah menyatakan sebab kenapa pihaknya tidak dapat menampung permintaan yang tinggi pada ketika ini.
Menurut laman Facebook rasmi Massimo Bread, TIB kini sudah pun mencapai tahap pengeluaran maksimanya. Di dalam kenyataan yang sama juga sedang beroperasi mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Terdahulu, TIB telah memaklumkan pihak syarikat akan terus mengeluarkan dan mengagihkan produk-produk Massimo seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Bagaimanapun, permintaan mendadak terhadap roti di seluruh Malaysia adalah sesuatu yang jarang-jarang untuk berlaku.
Pada masa yang sama, para pengguna dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik dan tidak menyimpan stok barangan melebihi keperluan sendiri.
Di saat ini, kita bersama-sama menangani wabak COVID-19 ini dengan menjaga kebersihan diri serta kekal di rumah masing-masing jika tiada keperluan mendesak sepanjang tempoh PKP ini.