Baru-baru ini telah dilaporkan bahawa pencetak HP tidak lagi boleh menggunakan katrij dakwat pihak ketiga yang bukan dikeluarkan oleh HP. Ia disebabkan oleh kemaskini firmware yang diterbitkan pada Mac lalu telah menghalang pencetak HP dari berkomunikasi dengan katrij yang tidak mempunyai cip keselamatan HP. Apa yang peliknya, keadaan ini hanya berlaku bermula sekitar 12 September baru-baru ini.

Sejak dari itu, terdapat sejumlah aduan dari pengguna pencetak HP yang memaklumkan bahawa katrij dakwat pihak ketiga yang digunakan telah dilabelkan sebagai ‘damaged (rosak)’. Pengedar katrij dakwat dari Belanda, 123ink mendakwa telah menerima lebih dari 1,000 aduan pengguna dalam tempoh tidak kurang dari 24 jam sebaik sahaja tetapan pada kemaskini firmware pencetak telah diaktifkan.

Pada masa yang sama, HP mengingatkan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak mereka adalah bertujuan melindungi hasil inovasi dan hak milik intelektual HP. Bagaimanapun, pencetak-pencetak HP masih lagi boleh menggunakan katrij dakwat isian semula atau katrij buatan semula (remanufactured) yang menggunakan cip keselamatan HP tulen.

Harus diingat bahawa pencetak yang terlibat dalam kemaskini ini merangkumi barisan pencetak dari jenis OfficeJet, OfficeJet Pro dan OfficeJet Pro X.

Walaubagaimanapun, pengedar katrij pihak ketiga yang terlibat 123ink kini sedang mengusahakan untuk menghasilkan cip keselamatan sendiri yang boleh memintas firmware terbaru pada pencetak HP. Langkah ini mungkin boleh dicontohi oleh pengeluar katrij dakwat pihak ketiga yang lain.

-Sumber berita diperoleh dari Ars Technica

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.