Seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun telah tular baru-baru ini kerana menjadi penjual di Shopee untuk mengumpulkan pendapatan bagi membeli telefon pintar baharu untuk kegunaan pembelajaran dalam talian.
Usaha adik Umar Al-Khattab menjadi tumpuan berikutan sebuah hantaran di Facebook salah seorang pelanggannya yang menyangka dirinya telah di’scam’ Ketika barangan yang dipesan telah sampai, pelanggannya telah menerima gelung cahaya LED yang tersalah saiz.
Berdasarkan temubual dengan akhbar The Malay Mail, pelajar berusia 11 tahun tersebut telah menerima lebih kurang 300 tempahan sejak sembilan hari mula berniaga di Shopee.
Anak keempat dari lima beradik ini juga turut berterima kasih kepada netizen yang menyokong perniagaan beliau. Kedai dalam taliannya di Shopee menjual pelbagai produk merangkumi jam tangan, lampu LED hinggalah ke peralatan alat tulis.
Pengalaman Berniaga di Shopee
Menurut Umar, minat untuk memulakan perniagaan menerusi Shopee tercetus selepas mengikuti penjelasan oleh rakan bapanya kepada bapanya mengenai cara memulakan perniagaan di Shopee. Beliau kemudiannya telah mempelajari pelbagai selok belok perniagaan dalam tempoh seminggu.
Semenjak insiden tersebut menjadi tular, ibu kepada Umar, Puan Nurul Huda Azman mengatakan anaknya telah dihubungi oleh beberapa syarikat yang meminta anaknya menjadi wakil jualan ‘dropship’ mereka.
Tambah Puan Nurul Huda lagi, anaknya Umar sedang berusaha membelikan telefon pintar baharu bagi mengikuti kelas Pembelajaran dan Pembelajar di Rumah (PdPR) memandang beliau sudah ketinggalan sebahagian sesi.
Hal ini disebabkan oleh masalah kekurangan peranti yang dihadapi oleh seluruh keluarga beliau. Peranti-peranti yang ada perlu dikongsikan oleh kelima-lima adik-beradiknya yang semuanya masih lagi bersekolah.
Sewaktu sesi pembelajaran dijalankan, keluarganya terpaksa memberikan keutamaan kepada anak-anak yang lebih sulung. Kedua-dua ibu bapa Umar juga buat masa ini tidak lagi bekerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini menyara kehidupan dengan menjual pelbagai produk tempatan secara kecil-kecilan.
Kedai dalam talian Umar di Shopee kini mencapai 5,000 pengikut sejak ia mula beroperasi dan beliau gigih meneruskan perniagaannya bagi mencapai hasrat beliau mendapatkan telefon pintar baharu. Pada masa yang sama, beliau turut berhasrat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga beliau melalui usaha ini.