Utama Perkhidmatan Memandu Grab tanpa lesen PSV boleh dikenakan denda atau penjara bermula hari...

Memandu Grab tanpa lesen PSV boleh dikenakan denda atau penjara bermula hari ini

1425
0

Peraturan baru untuk perkhidmatan seru pandu telah dikuatkuasakan bermula dari hari ini. Pemandu-pemandu perkhidmatan aplikasi seru pandu seperti Grab dan MyCar dikehendaki memiliki lesen PSV.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 56(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu perkhidmatan seru pandu tanpa lesen PSV.

Pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM2,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan jika disabitkan kesalahan. Selain itu, pemandu-pemandu yang gagal memaparkan pelekat seru pandu boleh di ambil tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan Dan Tatakelakuan Pemandu, Konduktor Dan Penumpang) 1959.

Hujung tahun lalu pihak kerajaan telah mengumumkan pengendali perkhidmatan seru pandu dikehendaki mendaftarkan lesen PSV bermula dari Januari 2019. Pendaftaran untuk lesen PSV telah dibuka pada 1 April 2019 dan peraturannya mula dikuatkuasakan pada hari ini 12 Julai 2019.

Lesen PSV merupakan jenis lesen memandu vokasional yang membenarkan pemegangnya memandu sebarang jenis kenderaan komersial membawa penumpang berbayar seperti teksi dan bas. Permohonan lesen ini melibatkan kursus latihan selama 6 jam dan pemandu juga dikehendaki lulus ujian bertulis. Pemandu-pemandu perkhidmatan seru pandu juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selain dari pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM jika kenderaan berusia lebih dari 3 tahun.

Selasa lalu pihak Grab memaklumkan hanya sekitar 10% dari pemandu-pemandu aktif Grab yang memiliki lesen PSV, manakala sebahagian kecil lagi sedang dalam proses mendapatkannya.

Berikutan dari perkembangan ini, pengguna-pengguna perkhidmatan seru pandu termasuk Grab dijangkakan perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan pemandu. Selain dari isu tempoh menunggu yang lebih panjang,penumpang juga berhadapan dengan kenaikan harga tambang sehingga mencecah 50 peratus dari kadar biasa.

Sumber berita diperoleh dari NST, Imej cover dari Asean Travel

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.