Utama Android Samsung Pandang Pertama Samsung Galaxy S23 FE

Pandang Pertama Samsung Galaxy S23 FE

334
0

Siri telefon pintar Samsung Fan Edition (FE) mengalami perjalanan naik dan turun sejak ia mula diperkenalkan tiga tahun yang lalu. Galaxy S20 FE yang asal merupakan telefon pintar yang amat bagus dan sangat berbaloi dengan harganya. Manakala Galaxy S21 FE yang dilancarkan pada tahun lepas pula dilihat tidak mampu mengulangi semula pencapaian cemerlang seperti model sebelumnya.

Untuk tahun ini, Samsung sekali lagi memperkenalkan siri FE baharu menerusi Galaxy S23 FE yang membawakan rekaan, kamera dan prestasi dari siri andalan S pada harga yang lebih mampu milik. Pun begitu, perkakasan untuk siri kali ini dilihat lebih menghampiri dengan Galaxy A54 yang juga dilancarkan pada tahun ini.

Persamaan yang dimaksudkan juga merangkumi kemasan kaca berglos Gorilla Glass 5 dan bingkai dengan kemasan matte. Walaubagaimanapun, kerangka aluminium yang digunakan padanya memberikan rasa yang lebih premium.

Kecuali warna hitam (graphite), kesemua bingkai untuk pilihan warna lain Galaxy S23 FE menampilkan warna perak. Untuk warna hitam, bingkainya ditampilkan dengan warna yang lebih gelap.

Dari segi rekaan telefon pintar ini, ia tidaklah begitu menonjol dan ia sekadar sederhana sahaja. Barangkali Samsung ingin menyelaraskannya dengan rekaan-rekaan telefon pintar yang lain kepada bentuk yang lebih ikonik berdasarkan keluaran sejak dari tahun lepas.

Untuk paparannya, Samsung Galaxy S23 FE menampilkan skrin AMOLED 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Ia mempunyai resolusi FHD+ yang sama dengan Galaxy S23 dan mempunyai kecerahan puncak 1,450 nits.

Fotografi Galaxy S23 FE

Terdapat tiga kamera disediakan pada permukaan belakang telefon pintar ini menampilkan rekaan “floating lens” seperti kebanyakan telefon pintar Samsung keluaran terkini.

Menampilkan kamera utama 50MP f/1.8 dan penstabil imej optikal, bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP f/2.2 dan kamera telefoto 8MP dengan zum 3X. Berbeza dengan model FE terdahulu yang menampilkan kamera 32MP pada sebelah hadapannya, untuk model kali ini, kamera hadapannya hanya ditampilkan dengan kamera 10MP sahaja.

Berdasarkan pengujian awal kami menggunakan kamera Galaxy S23 FE ini, didapati ia mampu mengambil gambar yang baik sungguhpun tidak begitu mengancam. Ia masih lagi mampu mengambil foto yang bagus dalam keadaan kurang pencahayaan sungguhpun terdapat sedikit hingar.

Contoh Tangkapan Foto menggunakan Galaxy S23 FE

Kamera utama

Kamera telefoto

Kelebihan untuk kamera Samsung Galaxy S23 FE ini terletak pada kamera telefoto 8MP dengan keupayaan zum 3X. Kamera ini bagaimanapun tidak didatangkan dengan sokongan OIS. Justeru, tangan yang lebih ‘steady’ diperlukan untuk mengurangkan gegaran pada hasil tangkapan gambar anda. Atau, anda boleh sahaja menggunakan tripod jika berkehendakkan seperti itu.

Pada sebelah hadapannya pula, kamera 10MP f/2.4 yang disediakan jika diukur mengikut nombor, dilihat kurang berbanding pada S21 FE yang menyediakan kamera 32MP. Namun, dari segi kualiti ia masih mampu menyediakan hasil yang memuaskan. Ia secara tidak langsung disumbangkan oleh faktor penggunaan pemprosesan imej dari Exynos 2200. Faktor perisian yang digunakan juga turut memainkan peranan menambahbaik kualiti foto dari kamera hadapan ini.

Kuasa Pemprosesan dari Samsung Exynos 2200

Untuk model pasaran di Malaysia, Samsung Galaxy S23 FE menggunakan Exynos 2200, pemprosesan andalan 4nm buatan Samsung. Menurut Samsung, telefon pintar ini juga didatangkan dengan kebuk pengewapan (vapor chamber).

Berdasarkan pengamatan saya dalam tempoh beberapa hari penggunaan telefon pintar ini, didapati model FE ini sememangnya dirasakan pantas dan lancar. Untuk lebih terperinci mengenai prestasinya ini, saya akan mengulasnya dengan lebih lanjut di dalam artikel yang akan datang.

Lain-lain ciri yang disediakan oleh Galaxy S23 FE ini termasuklah bateri berkapasiti 4,500mAh, lebih besar kapasitinya berbanding Galaxy S23 yang menawarkan 3,900mAh. Turut disediakan sokongan pengecasan nirwayar 15W dan juga seperti biasa sokongan pengecasan secara berwayar 25W.

Seperti yang ditawarkan pada Galaxy S23, model FE ini juga hadir dengan ciri kelasakan untuk kerintangan air dan debu IP68.

Harga Samsung Galaxy S23 FE di Malaysia

Samsung Galaxy S23 FE telah pun mula dijual di pasaran Malaysia sejak dari Selasa lalu, 10 Oktober 2023. Ia didatangkan dengan pilihan storan 128GB dan 256GB bersama-sama RAM 8GB.

  • Samsung Galaxy S23 FE (RAM 8GB, storan 128GB) – RM2,999
  • Samsung Galaxy S23 FE (RAM 8GB, storan 256GB) – RM3,299

Bermula dari 10 Oktober sehingga 30 November ini, Samsung menawarkan Galaxy S23 FE dengan naik taraf storan dua kali ganda. Ini bermakna anda boleh mendapatkan pilihan konfigurasi storan 256GB pada harga RM2,999.

Maklumat lanjut mengenai Galaxy S23 FE, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.