Khusus untuk anda yang berhasrat ingin mendapatkan telefon pintar peringkat menengah baharu, Samsung Galaxy A54 5G kini memperlihatkan pelbagai pembaharuan. Ia didatangkan dari segi reka bentuk, spesifikasi yang lebih baik dan juga tempoh penggunaan bateri yang lebih lama berbanding keluaran tahun lalu Galaxy A53 5G.
Isi Kandungan
Harga Samsung Galaxy A54 5G di Malaysia
Samsung menawarkan Galaxy A54 5G pada harga RM1,899 dengan satu sahaja pilihan konfigurasi storan 256GB dan RAM 8GB sahaja. Terdapat empat pilihan warna yang ditawarkan untuk model kali iaitu Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite dan Awesome White.
- Galaxy A54 5G; RAM 8GB, storan 256GB – RM1,899
Anda boleh membuat pra-tempahan kedua-dua model ini melalui eStore Samsung Malaysia. Bersempena pelancarannya, pelanggan yang membuat pra-tempahan berpeluang menerima Galaxy Buds Live secara percuma bagi setiap pembelian.
Anda juga boleh membeli adapter-adapter terpilih pada harga diskaun 30% dari Samsung Experience Store dan wakil pengedar yang sah di seluruh negara. Galaxy A54 5G dan Galaxy A34 5G telah dilancarkan ke pasaran sejak 7 April lalu.
Rekaan dan perkakasan
Galaxy A54 5G menampilkan rekaan diperbaharui yang berbeza dengan Galaxy A53 5G sebelum ini. Tiada lagi bonggol yang menempatkan modul-modul kamera dan sebaliknya modul-modul berkenaan yang membonjol tersebut disusun sebaris secara menegak, mirip dengan rekaan siri Galaxy S23.
Keutuhannya juga dipertingkatkan dari model terdahulu dengan kali ini menggunakan perlindungan Gorilla Glass 5 pada bahagian hadapan dan juga belakangnya. Sungguhpun kerangkanya diperbuat daripada kemasan plastik matte, binaannya tetap padu apabila dipegang.
Pada sisi atas telefon pintar ini, terdapat satu slot kad SIM / mikroSD dan mikrofon. Manakala pada bahagian sisi kanannya pula menempatkan butang kawalan audio dan kuasa.
Tiada bicu audio 3.5mm disediakan pada telefon pintar ini untuk anda menikmati audio menggunakan fon telinga berwayar. Walaubagaimanapun, pembesar suaranya menerima penalaan Dolby Atmos yang ditempatkan pada bahagian bawah bersebelahan port USB-C.
Sama ada disebabkan oleh penalaan Dolby Atmos atau kualiti pembesar suaranya itu sendiri, Galaxy A54 5G memberikan hasil bunyi stereo yang lantang dan mantap tanpa herotan (distortion) walaupun dilaraskan pada tahap yang tinggi ketika memainkan media. Kualiti bunyi dari panggilan telefon juga dikira sebagai baik dan boleh didengar dengan jelas.
Galaxy A54 memiliki rekaan permukaan rata yang ringkas dan elegan pada bahagian belakangnya yang juga menempatkan modul tri-kamera. Terdapat satu lampu LED bersebelahan dengan modul-modul kamera berkenaan.
Telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP67 ini bagaimanapun mengikuti trend pengeluar lain yang hanya menawarkan kotak pembungkusan yang ringkas. Tiada pengecas berwayar mahupun selongsong (cover) disediakan di dalamnya. Hanya sekadar kabel USB-C to USB-C, helaian panduan, dan pin penolak SIM bersama-sama Galaxy A54 5G di dalamnya.
Spesifikasi Samsung Galaxy A54 5G
- Cipset: Samsung Exynos 1380
- Skrin: 6.4-inci Super AMOLED, 120Hz
- RAM: 8GB
- Storan: 128GB, 256GB
- Bateri: 5,000mAh
- Port: USB-C
- Kamera depan: 32MP f/2.2
- Kamera belakang 50MP f/1.8 (utama), 12MP f/2.2 (ultralebar), 5MP f/2.4 (makro)
- Ketersambungan: Wi-Fi 6, Bluetooth 5.3, LTE, 5G (sub-6GHz)
- Ukuran: 158.2 x 76.7 x 8.2 mm
- Warna: Lime, Graphite, Violet, White
- Berat: 202 g
- Pengecasan: Berwayar 25W
- Penarafan IP: IP67
- Harga: RM1,899
- Sokongan kad mikroSD: Ada
Skrin Samsung Galaxy A54 5G
Samsung sering dikenali sebagai pengeluar yang menghasilkan telefon pintar dengan skrin OLED yang memukau dan Galaxy A54 5G tidak terkecuali. Ia menampilkan skrin Super AMOLED 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Panel skrinnya memang anggun sungguhpun paparan maksimumnya beresolusi 1080p disebabkan oleh faktor ketumpatan warna pada paparannya.
Malah, ketumpatan warna paparannya juga lebih baik berbanding Galaxy S23 Ultra dan ini memberikan kelebihan ketika memainkan permainan mudah alih dengan warna ceria seperti Genshin Impact atau Pokemon Unite. Selain itu, menonton kandungan dari platform penstriman juga dapat memanfaatkan kelebihan ini dengan video dapat dipaparkan dengan kontras yang lebih jitu.
Pada tahap kecerahan maksima 1,000 nits, paparan Galaxy A54 5G ini dapat dilihat dengan agak mudah apabila berada di bawah sinaran matahari. Ia juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan model keluaran tahun lalu. Melalui nisbah skrin-ke-kerangka 82.9%, bingkai disekelilingnya pastinya jelas kelihatan. Bergantung pada citarasa masing-masing, bingkai pada paparan ini mungkin tidak begitu mengganggu pada pandangan kebanyakan pengguna.
Perisian
Galaxy A54 5G menggunakan Android 13 melalui antaramuka Samsung One UI 5.1. Seperti biasa, pandangan peribadi saya mengenai perisian untuk peranti mudah alih Samsung ini positif semenjak lewat kebelakangan ini.
Ia kemas, dioptimasikan dengan baik dan juga intuitif. Rekaannya juga bergaya dan moden tanpa membebankan perkakasan dan juga prestasinya. Animasinya juga lancar dan ia benar-benar memanfaatkan asas Android 13 padanya.
Sama ada anda suka atau tidak, aplikasi-aplikasi Samsung masih lagi dipra-pasang pada Galaxy A54 5G. Sebahagian aplikasi Google seperti Messages masih lagi dijadikan aplikasi lalai untuk perkhidmatan permesejan. Namun untuk aplikasi lain seperti Samsung Internet Browser, ia masih lagi dijadikan aplikasi lalai untuk membuka laman web. Anda bagaimanapun masih boleh menukar tetapan lalai tersebut dengan menukarkannya kepada aplikasi pelayar web lain seperti Google Chrome.
Agak sedikit terkilan pada Galaxy A54 5G ini kerana didapati ia tidak didatangkan dengan Samsung DeX. Ketiadaan ciri ini menyukarkan untuk pengguna yang ingin menyambungkan ke skrin besar secara berwayar dan mungkin memerlukan kaedah lain untuk melakukannya.
Prestasi
Berdasarkan penggunaan saya di dalam tempoh ulasan ini, prestasi Galaxy A54 5G yang menggunakan pemprosesan Samsung Exynos 1380 didapati amat baik.
Secara teorinya, ia lebih baik jika dibandingkan dengan Exynos 1280 pada Galaxy A53 5G yang mempunyai dua teras Cortex-78 dan enam Cortex-A55. Sebagai perbandingan, Exynos 1380 mempunyai empat teras Cortex-78 dan empat Cortex-A55. Justeru, memberikan peningkatan pada markah ujian penanda arasnya.
Pun begitu, prestasinya bukanlah setinggi yang ditawarkan oleh telefon pintar mercu seperti siri Galaxy S23. Memandangkan ia merupakan pemprosesan Exynos, isu seperti telefon menjadi panas ketika memuat turun atau memainkan permainan masih lagi berlaku. Terdapat juga beberapa ketika telefon pintar ini dirasakan agak lambat ketika menyahkuncinya, namun pengalaman keseluruhan penggunaannya masih lagi dikira lancar.
Fungsi berbilang tugasan (multi-tasking) juga dapat dilaksanakan dengan lancar pada Galaxy A54 5G. Anda boleh melayari aplikasi-aplikasi lain sambil menonton YouTube secara ‘gambar-dalam-gambar’ (picture-in-picture) tanpa sebarang masalah dan ia sememangnya sudah dijangkakan bagi telefon pintar peringkat menengah sepertinya.
Prestasi untuk permainan mudah alih
Genshin Impact nampaknya sekali lagi menjadi aplikasi permainan pilihan untuk ulasan kali ini. Ia mampu dimainkan dengan lancar, namun masih terhad pada tetapan yang rendah. Jika dinaikkan tinggi sedikit, notifikasi amaran akan muncul dan permainannya pun menjadi perlahan.
Permainan lain seperti Pokemon Unite juga dapat dimainkan dengan lancar selain permainan seperti Fortnite juga dapat dimainkan. Cuma untuk Fortnite, anda perlu memuat turun fail APK aplikasi Epic Game Store dari laman web rasmi Epic dan ia boleh dimainkan pada tetapan grafik yang rendah.
Bateri
Berkapasiti 5,000mAh, Galaxy A54 5G mempunyai kapasiti yang sama dengan model keluaran tahun lalu. Bezanya, untuk tahun ini prestasinya adalah lebih baik.
Dalam kebanyakan masa, penggunaannya secara berterusan dapat dikekalkan sekitar 6 jam hingga 6 jam setengah. Ini berdasarkan tahap kecerahan paparan sekitar 90% dan tanpa mod penjimatan tenaga.
Pengecasan pantasnya hanya terhad pada 25W sahaja dan pada kebiasaannya saya mengambil masa sekitar dua jam untuk mengecas dari paras 20% hingga ke 100%. Semakan saya juga mendapati telefon pintar ini tidak didatangkan dengan ciri pengecasan nirwayar.
Kamera
Samsung Galaxy A54 5G mempunyai tiga modul kamera pada bahagian belakangnya. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 12MP dan satu kamera makro 5MP. Tiada sensor berkedalaman 5MP disediakan sebagaimana yang terdapat pada Galaxy A53 5G sebelum ini. Pada sebelah hadapan pula hadir dengan sebuah kamera 32MP.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan sistem kamera pada Galaxy A54 5G ini. Foto di dalam pencahayaan yang baik menghasilkan kualiti gambar yang jitu dengan warna yang bagus dan kontras yang dalam. Selain itu, sensor utamanya mampu mengambil perincian dengan baik di bawah cahaya matahari tanpa menyebabkan gambar menjadi pecah.
Swafoto menggunakan kamera hadapan 32MP juga menghasilkan kualiti yang baik dengan prestasi untuk mod potret juga dilakukan dengan cemerlang, manakala pemprosesan pengimejannya pula dilakukan dengan tuntas.
Jika anda bertanyakan mengenai kelemahan sistem kamera pada Galaxy A54 5G ini, pada hemat saya ia pada fotografi malam dan dalam keadaan kurang pencahayaan. Foto yang dihasilkan dalam kebanyakan masa dipenuhi dengan hingar. Anda mungkin perlu mengambil beberapa kali foto untuk cuba mendapatkan hasil yang lebih baik dalam keadaan kurang pencahayaan tersebut.
Seperti yang dijangkakan, terdapat penurunan kualiti imej apabila beralih dari sensor utama 50MP kepada ultra-lebar 12MP. Imej dari sensor ultra-lebar ini kelihatan tidak begitu jitu dan lebih gelap.
Tiada lensa telefoto disediakan pada Galaxy A54 5G dan zum yang dihasilkan dilakukan secara digital.
Galaxy A54 5G juga berkeupayaan merakamkan video pada kualiti sehingga 4K pada 30 fps bersama-sama sokongan ciri penstabil video. Saya mendapati telefon pintar ini menjadi sedikit panas selepas merakam pada kualiti tersebut sekitar lima minit. Namun, ia tidaklah begitu panas hingga mampu membuatkan hati anda menjadi gundah gulana.
Kesimpulan
Bagi peminat Samsung, Galaxy A54 5G mempunyai daya tarikan dari segi paparan skrin yang berkualiti tinggi serta terang. Prestasinya juga lebih baik jika dibandingkan dengan Galaxy A53 5G yang dilancarkan pada tahun lepas.
Terdapat juga beberapa kekurangan dari segi ketiadaan sokongan pengecasan nirwayar dan juga had pengecasan pantas hanya pada 25W sahaja. Namun, ia bukanlah hal yang besar memandangkan ia merupakan telefon pintar peringkat menengah.
Selain itu, penggunaan antaramuka Samsung One UI 5.1 yang didatangkan dengan sokongan kemaskini perisian dan keselamatan untuk tempoh yang panjang juga menjadi salah satu faktor menariknya.