Utama Komputer SSD luaran Samsung baharu T9 tawarkan kapasiti sehingga 4TB, Mampu pindahkan fail...

SSD luaran Samsung baharu T9 tawarkan kapasiti sehingga 4TB, Mampu pindahkan fail 4GB dalam 2 saat

278
0
Samsung T9 External SSD

Samsung telah mengumumkan pemacu keadaan pepejal (solid state drive, SSD) luaran (external) andalan baharunya, T9. Disasarkan kepada profesional video yang memerlukan storan besar dan pantas untuk memindahkan fail, perkakasan ini merupakan pemacu luaran pertama dari Samsung yang menggunakan antaramuka USB 3.2 Gen 2×2.

Hasilnya, kelajuan baca/tulis maksimumnya mampu mencapai sehingga 2,000MB/s, hampir dua kali ganda berbanding T7 yang menggunakan antaramuka USB 3.2 Gen 2. Ia seterusnya mampu memindahkan fail video Full HD bersaiz 4GB dalam tempoh sekitar 2 saat sahaja. Saiznya juga lebih besar jika dibandingkan dengan T7 pada ukuran 88mm panjang, 60mm lebar dan 14mm tebal. Malah, beratnya juga dua kali ganda pada 122 gram.

Boleh didapati pada pilihan konfigurasi 1TB, 2TB dan 4TB, Samsung T9 tahan lasak dengan mampu bertahan apabila terjatuh pada ketinggian sehingga 3 meter. Pemacu storan luaran ini juga menampilkan teknologi Dynamic Thermal Guard yang mampu mencegah keadaan lampau panas dan memastikan kelajuan pemindahan data yang konsisten. Ia juga didatangkan bersama-sama selongsong getah sebagai perlindungan tambahan.

Samsung T9 External SSD MalaysiaSeperti SSD keluaran Samsung yang lain, anda juga boleh menguruskan Samsung T9 melalui perisian Samsung Magician yang disediakan untuk sistem operasi Windows bagi membantu melaksanakan tugasan seperti:

  • Migrasi data,
  • Penanda aras prestasi
  • Keselamatan
  • Kemaskini Firmware
  • Semakan status kesihatan peranti dalam masa nyata

Samsung T9 didatangkan dengan waranti terhad selama lima tahun dan kini mula dijual di pasaran di seluruh dunia termasuk Malaysia. Setakat ini Samsung belum memaklumkan berkenaan harga SSD Samsung T9 ini di pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.