Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy S23; Kecil Molek yang Padu

Ulasan Samsung Galaxy S23; Kecil Molek yang Padu

495
0
Ulasan Samsung Galaxy S23

Sekali pandang memang tidak jauh bezanya dengan Galaxy S22 yang dilancarkan pada tahun lepas. Tapi Galaxy S23 kekal sebagai pilihan padu yang mantap untuk prestasi, kamera dan juga ketahanan tempoh penggunaan baterinya.

Selaku model yang paling kecil dan ringan di dalam siri Galaxy S22, ia tetap sarat dengan sejumlah daya tarikannya yang tersendiri. Melalui skrinnya yang bersaiz 6.1-inci ini, apakah peranti bersaiz comel ini mampu mencuri perhatian yang besar dari peminat telefon pintar mercu?

Sepanjang tempoh seminggu saya meluangkan masa dengan ‘si comel’ ini, berikut adalah pandangan peribadi saya:

Rekaan dan Skrin

Ulasan Samsung Galaxy S23-1Samsung Galaxy S23 mungkin dilihat amat mirip dengan Galaxy S22, terutama untuk anda yang pernah guna atau melihatnya. Namun, terdapat beberapa perubahan utama yang ditawarkan dari model mercu tahun lepas sebagai penambahbaikannya.

Paling ketara adalah pada bonggol kamera berkontur pada bahagian belakangnya. Ia kini digantikan dengan rekaan minimalis susun atur kamera satu jalur ke bawah seperti yang ada pada Galaxy S23 Ultra. Tapi saya rasa macam rekaan iPhone pun ada juga kerana permukaan sisinya yang rata dan bucunya yang melengkung.

Beratnya 168g juga amat ideal sesuai dengan saiznya yang kecil dan memudahkan untuk dikendalikan dengan hanya satu tangan sahaja. Sesetengah pengguna yang sudah terbiasa dengan skrin besar mungkin tidak dapat menikmati kandungan pada skrin besar melaluinya. Namun untuk pengendalian ia menawarkan kelebihan buat pengguna yang bertangan kecil seperti saya.Samsung Galaxy S23-Bahagian Sisi

Galaxy S23 ini tidak besar tapi amat kuat dari segi kekukuhan binaannya kerana skrinnya diperbuat dari cermin terkini buatan Corning, Gorilla Glass Victus 2. Ia dikatakan mampu bertahan apabila dijatuhkan ke atas batu konkrit selain mempunyai kerintangan air dan debu IP68. Jadi, anda mungkin kurang bimbang jika membawanya bersama ketika berkelah di tepian pantai.

Skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.1-inci ini turut menawarkan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Ia seterusnya menjadikan segalanya berjalan lancar selain boleh diturunkan kadar penyegarannya bagi memberikan penjimatan pada penggunaan tenaga bateri.

Turut disediakan sokongan untuk kandungan HDR10+ bagi meningkatkan julat dinamik pada sesetengah kandungan yang menyokong. Pun begitu, tiada sokongan Dolby Vision disediakan untuk telefon pintar ini.

Kecerahan maksimumnya adalah pada 1250 nits dan boleh dipertingkatkan sehingga 1750 nits apabila menonton kandungan HDR. Oleh itu, anda masih boleh melihat dengan jelas apa yang dipaparkan pada skrin di bawah cahaya matahari yang terik.

Kamera

Jika S23 Ultra menerima penambahbaikan kamera baharu 200MP, Galaxy S23 pula sekadar mengekalkan modul-modul kamera yang terdapat pada modul sebelumnya. Kamera-kameranya masih lagi teridiri daripada kamera utama 50MP dengan dwi-piksel PDAF dan OIS, bersama-sama kamera ultra-lebar 12MP 120-darjah dan satu kamera telefoto 3x 10MP dengan OIS.

Ulasan Samsung Galaxy S23-2Pun begitu, penawaran pada kameranya masih lagi berbaloi dengan harga yang ditawarkan olehnya. Kamera utama 50MP menampilkan teknologi pixel-binning yang menggabungkan sebilangan piksel bersama-sama bagi meningkatkan perincian dan pencahayaannya.

Apabila digabungkan bersama-sama AI dipertingkatkan yang mampu memperbaikkan imej dengan membahagikannya kepada segmen-segmen, ia menghasilkan tangkapan imej yang terang dan terperinci sama ada di tempat yang terang mahupun di tempat yang suram.

Ia juga menghasilkan tangkapan imej HDR yang agak baik dengan mengekalkan sejumlah perincian dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Ketiadaan kamera 200MP seperti saudaranya S23 Ultra tidak menghalang S23 menghasilkan imej yang baik termasuk di dalam keadaan kurang pencahayaan menerusi kamera utama 50MP dengan aperture f/1.8 padanya.

Contoh fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan dan malam:

Juga disediakan ciri Expert RAW yang pertama kali diperkenalkan pada siri S22. Jika model sebelum ini, tangkapan imej berformat RAW terhad pada kamera 12MP sahaja walaupun didatangkan dengan kamera 12MP. Kali ini, ciri tersebut membenarkan anda memilih untuk memanfaatkan sensor utama 50MP yang disediakan.

Kamera telefoto 3X 10MP pula memudahkan anda mengambil gambar jarak jauh dengan lebih dekat selain memberikan lebih pilihan sudut untuk fotografi potret. Penggunaan teknologi OIS juga membantu mendapatkan imej yang lebih terperinci untuk tahap zum yang lebih tinggi.

Zum lebih dari 3x juga boleh dilakukan dengan kamera telefon pintar ini. Namun, hasilnya tidaklah sama seperti yang terdapat pada S23 Ultra. Anda juga boleh mengezum sehingga 30X dengan hasilnya tidak begitu memuaskan kecuali untuk mengambil gambar bulan yang pada pandangan saya hampir setara dengan S23 Ultra.

Seterusnya, kamera ultra-lebar 120 darjah 12MP yang sesuai digunakan untuk mengambil foto bangunan. Gambar dari kamera beraperture f/2.2 ini agak baik hasilnya. Akan tetapi tidak sebaik hasil yang diberikan oleh kamera-kamera lain padanya yang lebih tinggi resolusi.

Kamera pada sebelah hadapannya pula menawarkan sedikit penambahbaikan dari 10MP kepada 12MP. Ciri baharu yang ditawarkan pada kamera ini termasuklah keupayaan rakaman video Samsung Super HDR dan 60fps. Ia dikirakan amat memadai bagi kegunaan biasa seperti swafoto dan panggilan video. Namun, untuk fotografi yang lebih serius sebaiknya anda gunakan sahaja kamera belakangnya.

Prestasi

Tonggak utama Samsung Galaxy S23 pastinya pada pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang sememangnya dikhususkan untuk telefon pintar keluaran Samsung.

Menurut Qualcomm, cipset yang ditambahbaik ini mempunyai prestasi CPU yang dipertingkatkan dengan kelajuan maksimum 3.36GHz, berbanding 3.2GHz pada Snapdragon 8 Gen 2 biasa. Begitu juga halnya dengan kuasa pemprosesan grafik yang turut dipertingkatkan pada Adreno GPU yang menawarkan prestasi lebih baik dan lebih berkecekapan tenaga berbanding varian standard.

Cipset ini juga jenis yang sama digunakan pada model Plus dan Ultra. Justeru, tiada perpecahan ‘kabilah’ antara ‘suku’ Snapdragon dan ‘suku ‘Exynos’ pada siri Galaxy S pada tahun ini.

Prestasinya juga amat mengkagumkan dan mampu membuka dan mengendalikan apa jua jenis aplikasi termasuk permainan mudah alih bergred AAA seperti Fortnite pada tahap grafik maksimum. Melalui sokongan penyegaran skrin 120Hz, dan animasi beresponsif, segalanya berjalan dengan lancar pada Galaxy S23.

Storannya pula didatangkan dengan pilihan 128GB atau 256GB, sama seperti tahun lepas. Tiada pilihan 512GB seperti pada S23 Plus atau 1TB pada S23 Ultra, namun ini sudah memadai bagi kebanyakan pengguna biasa.

Sama seperti ‘adik-beradiknya’ yang lain di dalam siri ini, Galaxy S23 menggunakan Android 13 melalui antaramuka OneUI 5.1. Versi sistem operasi Android 13 tersuai dari Samsung ini menawarkan sejumlah ciri unik khusus untuk dimanfaatkan oleh pengguna Samsung.

Antaranya pilihan pengubahsuaian ‘lock screen’ mirip dengan Apple iPhone melalui kemaskini iOS 16. Pengguna kini boleh menukarkan gaya jam, saiz dan juga kedudukannya pada skrin. Turut boleh diubah suai, butang pintas pada bahagian bawah skrin dan juga cara notifikasi masuk dipaparkan.

Samsung Dex juga disediakan pada telefon pintar ini dan boleh digunakan untuk menjalankan aplikasi Android pada skrin lebih besar yang disambungkan dengan Galaxy S23. Papan kekunci dan tetikus juga boleh disambungkan secara Bluetooth jika anda ingin menggunakan Samsung Dex pada telefon pintar ini melalui skrin besar yang bersambungan dengannya.

Bateri

Bateri yang terdapat pada Galaxy S23 merupakan yang paling kecil di dalam siri ini iaitu hanya 3,900mAh sahaja. Ia sedikit lebih besar 200mAh berbanding yang digunakan pada Galaxy S22. Jika anda menggunakan tenaganya dengan berjimat-cermat, ia mampu bertahan lebih dari sehari.

Pun begitu, ketahanan baterinya boleh dikira agak membanggakan juga. Ia mengambil kira faktor skrin yang lebih kecil selain penggunaan resolusi yang lebih rendah dari siri yang lain, pada FHD+ turut menyumbang.Ulasan Samsung Galaxy S23-3

Untuk pengecasannya pula, Galaxy S23 hanya menyokong pengecasan sehingga 25W sahaja. Tiada sokongan pengecasan 45W disediakan seperti yang terdapat pada Galaxy S23 Ultra. Pada pandangan saya, kapasiti baterinya yang kecil ini setidaknya perlu diberikan sokongan pengecasan 45W bagi memudahkan pengguna yang ingin mengecas dalam tempoh yang singkat.

Kesimpulan

Telefon pintar bersaiz kecil ini pada kebiasaannya kurang dari segi kapasiti baterinya. Namun, Samsung dilihat telah mengatasi isu ini dengan baik apabila meningkatkan kecekapan penggunaan baterinya melalui pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy.

Faktor saiznya yang kecil dan comel juga boleh menjadi salah satu daya tarikannya. Skrin AMOLED 2X Dynamic 6.1-inci pada paparannya juga kekal mantap sunggguhpun tiada teknologi LTPO 2.0.

Secara keseluruhan, Galaxy S23 menawarkan sejumlah ciri yang sewajarnya ada pada telefon pintar mercu walaupun dalam saiz yang lebih kecil.

Dari segi harga, Galaxy S23 berharga dari RM3,899 bagi varian 128GB, dengan varian 256GB pula berharga RM4,199. Seterusnya, untuk Galaxy S23 Plus pula, varian 256GB dan 512GB boleh didapati pada harga masing-masing RM4,699 dan RM5,199.Samsung Galaxy S23 dan S23 Plus-S23 Ultra

Pembelian boleh dibuat menerusi Samsung Online Store dengan pelbagai tawaran menarik disediakan termasuk menaik taraf pilihan storan, diskaun untuk produk-produk Galaxy terpilih dan satu e-Voucher RM400.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.