Microsoft telah pun menamatkan ‘riwayat’ Internet Explorer sejak dari tahun lepas, namun masih banyak lagi organisasi dan perniagaan di Jepun yang masih lagi menggunakan pelayar internet berkenaan.
Hampir separuh dari jumlah organisasi di Jepun yang dilaporkan masih lagi menggunakan Internet Explorer yang telah ditamatkan sokongannya oleh Microsoft pada minggu lepas.
Menurut Nikkei, kebanyakan syarikat tersebut didapati lambat mengambil tindakan mengubah ke pelayar web lain yang lebih moden. Kelewatan melaksanakan perubahan ini dijangkakan mampu mencetuskan kegawatan hingga berbulan-bulan lamanya.
Penyedia perkhidmatan teknologi maklumat Keyman’s Net telah menjalankan satu kaji selidik syarikat-syarikat Jepun pada awal tahun ini. Menerusinya tinjauan tersebut didapati kebanyakannya terpaksa menggunakan Internet Explorer kerana ia bersangkutan dengan sistem yang digunakan oleh pelanggan-pelanggan untuk menguruskan pesanan.
Sebahagian lagi didapati menggunakan Internet Explorer untuk menguruskan organisasi seperti kedatangan pekerja dan belanja mengurus. Lebih dari satu perlima responden tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk mengubah kaedah pengurusan perniagaan masing-masing ke pelayar web alternatif seperti Microsoft Edge atau Google Chrome.
Masalah ini juga melibatkan jabatan-jabatan kerajaan yang didapati lebih lembab untuk mengenalpasti perubahan yang perlu dilakukan. Misalnya, permohonan dalam talian Perkhidmatan Persaraan Jepun perlu menggunakan di dalam IE Mode pada pelayar web Microsoft Edge.
Mod berkenaan akan menerima sokongan dari Microsoft sehingga 2029 bagi memudahkan laman-laman web yang tidak bersesuaian dengan pelayar web moden dapat dipaparkan pada Microsoft Edge.
Atas sebab itu, tindakan Microsoft menamatkan secara rasmi sokongan terhadap IE selepas hampir 27 tahun dijangkakan dapat mempercepatkan tindakan organisasi-organisais terlibat menambahbaik keperluan sistem dengan menyertakan sokongan terhadap pelayar web moden seperti Edge, Chrome, Firefox dan sebagainya.