OPPO Reno 7 kini akhirnya dilancarkan ke pasaran Malaysia setelah empat bulan ia diperkenalkan. Pra-tempahan bagi model standard dan Pro telefon pintar OPPO ini mula dibuka dari hari ini hingga 4 Mac nanti.
Bagi OPPO Reno 7 Pro, telefon ini hadir dengan paparan AMOLED Full HD+ 90Hz 6.5-inci. Telefon yang menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 1200-Max ini mengetengahkan sensor IMX766 50MP pada kamera utamanya. Sensor berkenaan telah dibangunkan secara bersama oleh OPPO dan Sony.
Kamera utama berkenaan turut digandingkan dengan kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 2MP dan satu sensor yang dikhususkan pada suhu warna. Sony turut menyumbang pada sensor kamera swafoto Reno 7 pro yang hadir dalam berntuk IMX709 32MP.
Reno 7 Pro turut menyediakan bateri berkapasiti 4,500mAh yang turut menyokong pengecasan SuperVOOC 65W. Menurut OPPO, telefon ini mampu mengecas sehingga 100% dalam tempoh 31 minit.
Untuk Reno 7 standard pula, telefon yang hadir dengan rekaan bucu melengkung ini dilengkapkan dengan cipset MediaTek Dimensity 900. Model telefon ini juga menyediakan kamera utama 64MP, bersama-sama kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP.
Kamera hadapannya pula turut menyediakan kamera 32MP, namun OPPO tidak menyatakan pengeluar modul kamera tersebut. Untuk skrinnya, Reno 7 menyediakan paparan AMOLED Full HD+ 6.4-inci 90Hz. Telefon ini juga dilengkapkan dengan bateri 4,500mAh yang menyokong pengecasan SuperVOOC sehingga 65W.
Harga OPPO Reno 7 dan Reno 7 Pro di Malaysia
Harga bagi Reno 7 Pro ditawarkan pada RM2,999 untuk RAM 12GB dan storan 256GB. Manakala Reno 7 standard pula, ia menawarkan RAM 8GB dan 128GB dengan harga di pasaran RM1,999.
Pembeli terawal telefon pintar siri OPPO Reno 7 ini ditawarkan dengna Enco Buds, Reno Bag dan 1-tahun perlindungan terhadap kerosakan skrin, selain turut layak menerima ganjaran tambahan menerusi aplikasi My OPPO. Selain itu, anda juga layak menerima diskaun 50% pembelian OPPO Watch Free dan Enco Air2.
100 pelanggan pertama yang memilih untuk mendapatkan siri Reno 7 di jerayawara OPPO di Sunway Pyramid pada 5 dan 6 Mac akan menerima OPPO Watch Free secara percuma. Tawaran yang sama juga diberikan kepada 30 pembeli pertama di jerayawara Reno 7 di seluruh negara.
Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, siri Reno 7 akan mula membuka pra-tempahan dari hari ini sehingga 4 Mac di kedai dalam talian OPPO Malaysia, Lazada dan juga Shopee. Anda juga boleh mendapatkannya kedai-kedai fizikal seperti OPPO Brand Stores, My OPPO Space, kedai penyedia rangkaian telekomunikasi, dan wakil jualan yang sah di seluruh negara.













