Selepas memperkenalkan OPPO Find N2 ke pasaran, OPPO dilaporkan akan melancarkan sebuah lagi telefon pintar boleh lipat baharunya tidak lama lagi. Bakal dikenali sebagai OPPO Find N3, telefon pintar boleh lipat ini telah pun menerima persijilan dari MIIT China dan akan dilancarkan pada bulan depan.
Menurut GizmoChina, Find N3 direka dengan nombor model PHN110 di dalam senarai persijilan. Selain itu, peranti ini juga dijangka akan menerima persijilan dari badan penguatkuasaan di China seperti TENAA dan 3C dalam beberapa hari lagi.
Bagaimanapun, senarai di MIIT berkenaan tidak menyatakan maklumat mengenai spesifikasi telefon pintar berkenaan selain dari isyarat komunikasinya sahaja.
Maklumat yang diketahui setakat ini banyak datangnya dari desas-desus di internet termasuk gambarajah skematiknya.
Khabar angin mengatakan peranti tersebut akan menampilkan paparan AMOLED FHD+ 6.3-inci 120Hz untuk skrin luar, dan panel paparan AMOLED 2K 7.8-inci 120Hz untuk skrin dalamnya. Sistem kamera pula untuk bahagian skrin luar disediakan satu kamera 32MP, satu kamera 20MP pada skrin dalam dan tetapan tri-kamera di belakangnya yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 48MP dan kamera periskop 64MP.
Lain-lain spesifikasinya termasuklah Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X 16GB, storan UFS 4.0 sehingga 1TB dan bateri berkapasiti 4,805 dengan sokongan pengecasan berwayar 80W, dan nirwayar 50W.
Pun begitu, khabar angin ini masih lagi belum dapat disahihkan lagi selagi tiada kenyataan rasmi mengenainya daripada pihak OPPO.