Utama PRISM+ Ulasan PRISM+ Q55 Ultra – Televisyen Pintar dengan Sokongan Google TV

Ulasan PRISM+ Q55 Ultra – Televisyen Pintar dengan Sokongan Google TV

264
0

PRISM+ kian memperluaskan pasarannya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bermula dengan sebilangan kecil model-model monitor yang bagus dengan harga yang berpatutan, jenama ini mula memperluaskan penawarannya dengan produk-produk baharu.

Baru-baru ini PRISM+ telah memperkenalkan siri televisyen pintar QLED baharunya yang ditawarkan pada harga yang munasabah. Ia hadir melalui model Q55 Ultra, Q65 Ultra dan Q75 Ultra.

Kelebihan dan Kekurangan

Untuk ulasan kali ini, kami menerima PRISM+ Q55 Ultra dari PRISM+ Malaysia. Sarat dengan pelbagai ciri seperti Dolby Vision, HDR10+, Filmmaker Mode, Dolby Atmos, DTS TruSurround, dan juga Google TV, televisyen ini mampu memberikan nikmat tontonan berkualiti panggung wayang jika anda menyambungkannya bersekali dengan sistem audio teater rumah.

Kelebihan PRISM+ Q55 Ultra

Kekurangan PRISM+ Q55 Ultra

·         Panel QLED

·         4K Ultra HD

·         Dolby Vision /HDR10+

·         Filmaker Mode

·         Dolby Atmos

·         Google TV

·         Alat kawalan jauh yang pantas dan direka dengan baik

·         Bunyi bass pembesar suara terbina dalamnya kurang menyengat

Spesifikasi PRISM+ Q55 Ultra

  • Model televisyen: PRISM+ Q55 Ultra
  • Saiz skrin: 55-inci
  • Teknologi panel: QLED
  • Sistem operasi: Google TV
  • Resolusi: 4K (3,840 x 2,160 piksel)
  • Google Assistant Voice Control
  • Dolby Vision
  • HDR 10+
  • Filmaker Mode
  • Dolby Atmos
  • DTS TruSurround
  • Bluetooth 5.1

Pandang Pertama PRISM+ Q55 Ultra

Bergantung pada saiz sesebuah televisyen, pada hemat saya 55-inci sudah lebih dari memadai untuk rumah yang tidak begitu besar seperti kediaman saya.

Untuk pemasangannya, di dalam kotak PRISM+ disediakan dua pasang skru untuk sepasang kakinya untuk anda meletakkan di atas meja kabinet ruang tamu anda misalnya. Tiada skru M5 disediakan di dalamnya jika anda berniat untuk menggantungkannya pada dinding melalui sistem menggantung VESA pada sebelah belakangnya.

Rekabentuk PRISM+ Q55 Ultra sebelum ia dihidupkan pun sudah kelihatan bergaya melalui rekaan modern dan minimalnya dengan bingkai yang nipis. Bahagian bawahnya terdapat ‘dagu’ berhampiran logo jenama PRISM+ yang turut menempatkan sensor, lampu petunjuk on/off dan mikrofon untuk kawalan bersuara Google Assistant. Juga disediakan butang bisu fizikal untuk mikrofon pada sebelah bawahnya.

Televisyen pintar ini menawarkan tiga port HDMI 2.0 dengan satu daripadanya menyokong ARC. Juga disediakan satu port LAN, output audio digital, dua port USB dan satu port antenna.

Sungguhpun bahagian hadapannya kelihatan rata, bahagian belakangnya pula tebal kerana menempatkan perkakasan bagi membolehkan fungsinya berjalan lancar.

Ini bukanlah sesuatu hal yang besar kerana dalam kebanyakan masa pengguna akan menonton apa yang dipaparkan pada skrin. Tambahan pula paparannya yang kelihatan cantik dari kesemua sudut membuatkan anda mungkin terlupa tentang ketebalan bahagian belakangnya.

Kualiti tontonan PRISM+ Q55 Ultra

Tetapan televisyen pintar ini bukanlah sesuatu yang sukar dan anda boleh memilih sama ada melalui aplikasi Google Home dari telefon pintar anda atau terus padanya menggunakan alat kawalan jauh yang disediakan.

QLED

Penggunaan teknologi QLED pada PRSIM+ Q55 Ultra merupakan antara yang menarik dan menjadi kelebihan utamanya jika dibandingkan dengan pengeluar lain yang ditawarkan pada harga yang sama.

“Q” di dalam QLED membawa maksud Quantum Dot merupakan teknologi berasaskan LED yang meningkatkan kejituan warna. Ia juga lebih banyak pilihan rona warna di atas skrin, selain turut menawarkan tahap kecerahan yang lebih luas.

Walhasil, teknologi ini mampu membawakan paparan visual yang lebih mantap dengan warnanya yang berseri, cerah dan jitu. Sungguhpun warna hitamnya tidak segelap warna hitam dalam paparan OLED.

HDR, HDR 10+ dan Dolby Vision

High Dynamic Range atau biasa dikenali sebagai HDR merupakan teknologi yang sering diketemukan di dalam televisyen masa kini. Ia juga mampu meningkatkan kontras di antara terang dan gelap dan juga menunjukkan lebih perincian. Pun begitu, tidak semua televisyen dengan sokongan HDR adalah sama.

Justeru, Dolby Vision yang merupakan format HDR berlesen dan diiktiraf menggunakan metadata dinamik bagi melaraskan tahap kecerahan tertentu mengikut babak-ke-babak. Melalui penawaran 1.07 billion warna pada PRISM+ Q55 Ultra, anda dapat menikmati visual yang lebih berkualiti dengan Dolby Vision yang disediakan pada perkhidmatan penstriman seperti Netflix, Disney+ dan juga Amazon Prime.

HDR10+ juga merupakan teknologi yang sama dengan Dolby Vision dan turut ditawarkan di dalam televisyen pintar ini. Format ini bukan sekadar menggunakan metadata dinamik, malah melaraskan dan mengoptimasikan setiap bingkai di dalam video untuk disesuaikan dnegan keupayaan sesebuah paparan.

Selain dari dua format yang dinyatakan di atas, PRISM+ Q55 Ultra juga menawarkan HDR biasa yang ditawarkan di dalam kebanyakan platform termasuk YouTube. Walaupun tidak secemerlang HDR10+ dan Dolby Vision, ia setidaknya lebih baik kualiti visualnya jika dibandingkan dengan kandungan bukan HDR.

Filmaker Mode

Mod ini boleh dikirakan sebagai agak baharu diperkenalkan pada televisyen. Sebelum ini kebanyakan televisyen masa kini gemar melicinkan dan menaikkan warna di dalam paparan untuk menjadikannya kelihatan “lebih cantik”. Namun, tetapan tersebut tidak semestinya memberikan kesan yang sama untuk kandungan-kandungan seperti filem.PRISM+ Q55 Ultra Review Ulasan-5 Barbie

Atas sebab itu, UHD Alliance telah menghasilkan mod berkenaan bagi meningkatkan mutu tontonan mengikut apa yang dihajatkan oleh pembikin filem tersebut.

Pun begitu, ia bergantung pada bagaimana individu berkenaan menikmati filem melalui televisyen. Pada pandangan saya, mod ini memberikan lebih pilihan buat pengguna untuk menikmati tontonan kandungan kegemaran masing-masing.

Audio

Sepasang pembesar suara yang disediakan pada PRISM+ Q55 Ultra ini, 2x10W menawarkan audio yang sederhana kualitinya. Namun, ia sudah memadai dari segi kejelasan suara selain ia boleh dikuatkan tanpa menghasilkan bunyi yang pecah.

Untuk kualiti audio yang lebih menakjubkan, saya berpandangan anda mungkin perlu menyambungkannya dengan soundbar. Penggunaan peranti berkenaan dapat memanfaatkan penawaran dari televisyen pintar ini kerana ia menyokong DTS TruSurround dan juga Dolby Atmos.

Google TV dengan integrasi Chromecast

Google TV beroperasi dengan amat lancar pada PRISM+ Q55 Ultra dengan tahap responsifnya setara dengan televisyen berharga premium. Pelbagai aplikasi boleh dimuat turun dengan mudah dan boleh disenaraikan pada paparan utama televisyen ini.

Asalkan anda sudah memiliki akaun Google, set up pertama kali Google TV dapat dilakukan dengan senang menggunakan aplikasi Google Home. Anda juga boleh mewujudkan lebih dari satu akaun Google di dalam PRISM+ Q55 Ultra bagi memudahkan anda tata susunan kandungan mengikut akaun masing-masing.

Lain-lain

Televisyen ini juga disertakan bersekali alat kawalan jauhnya yang memudahkan anda menguruskan kandungan-kandungan di dalamnya. Turut disediakan empat butang khas yang merangkumi Netflix, Prime, Disney+ dan juga tersuai.

Butang kawalan Google Voice turut ditempatkan di tengahnya dapat membantu penggunaan arahan bersuara tanpa perlu menaip menggunakan alat kawalan jauh. Kawalan seperti biasa menggunakan pad empat hala di tengah-tengahnya juga lancar dari pelbagai arah dan sudut. Kelancaran ini disumbangkan oleh faktor penggunaan sambungan secara Bluetooth berbanding infra merah seperti alat kawalan televisyen biasa.

Harga PRISM+ Q55 Ultra, Q65 Ultra dan Q75 Ultra di Malaysia

PRISM+ Q55 Ultra merupakan pilihan yang tepat buat pengguna yang inginkan televisyen pintar QLED lengkap dengan pelbagai ciri dan sokongan pada harga yang berpatutan. Selain saiz skrin 55-inci, model televisyen ini juga didatangkan dengan saiz 65-inci dan juga 75-inci.

PRISM+ Q55 Ultra Review Ulasan Google TVBerikut adalah harga mengikut saiz skrin siri PRISM+ QLED Ultra di Malaysia:

  • PRISM+ Q75 Ultra – RM4,499
  • PRISM+ Q65 Ultra – RM3,299
  • PRISM+ Q55 Ultra – RM2,299

Anda yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan mendapatkan televisyen pintar ini boleh melayari laman web rasmi PRISM+ Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.