Bagi anda yang sedang mencari router baharu atau untuk menggantikan router sedia ada yang dibekalkan oleh ISP, anda mungkin pernah melihat terma “dual-band”.
Selain dari router, anda juga mungkin pernah melihat sewaktu melakukan tetapan untuk tethering hotspot data internet mudah alih melalui telefon pintar anda.
Terma ini merujuk kepada teknologi tiga jenis jalur (band) WiFi yang digunakan oleh sesebuah router iaitu 2.4 GHz, 5GHz dan 6 GHz. Anda mungkin ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan mengenainya.
Perbezaan ketara WiFi 2.4 GHz, WiFi 5 GHz dan WiFi 6GHz
Kedua-dua angka ini merujuk kepada dua jalur berbeza yang digunakan oleh WiFi untuk memancarkan isyaratnya. Perbezaan paling ketara antara dua frekuensi WiFi ini adalah pada jarak (kawasan liputan) dan lebar jalur (kelajuan) yang disokongnya.
- Jalur frekuensi 2.4GHz menyediakan liputan yang paling meluas, namun kelajuannya adalah lebih perlahan.
- Jalur frekuensi 5GHz menyediakan liputan yang kurang meluas, tetapi berkelajuan lebih tinggi dari frekuensi 2.4GHz.
- Jalur frekuensi 6GHz, teknologi WiFi paling terkini di pasaran ini menyediakan liputan yang paling kecil. Namun menawarkan kelajuan yang paling tinggi di antara ketiga-tiga frekuensi ini.
Di dalam keadaan ideal, WiFi 2.4 GHz boleh menyokong sehingga 450Mbps atau 600Mbps, bergantung kepada kelas sesebuah router yang digunakan. Bagi WiFi 5 GHz pula, ianya mampu menyokong sehingga 1,300 Mbps. Namun, ini semua bergantung pada keadaan yang ideal.
Jalur 2.4GHz boleh dikirakan sebagai tempat yang sudah sesak kerana bukan digunakan untuk WiFi semata-mata. Jalur isyarat ini turut digunakan oleh peranti nirwayar lain seperti telefon tanpa kord lama, pintu pagar automatik dan sebagainya.
Gelombang lebih panjang yang digunakan oleh jalur 2.4GHz lebih sesuai digunakan untuk transmisi isyarat jarak jauh dan boleh menembusi dinding. Bagaimanapun, oleh kerana sudah terdapat banyak peranti yang menggunakan jalur 2.4 GHz ini, kesesakan di dalamnya boleh menyebabkan gangguan pada sambungan dan merendahkan kelajuannya.
Jalur WiFi 5GHz pula lebih rendah tahap kesesakannya dan melaluinya, anda mungkin boleh mendapatkan sambungan yang lebih stabil, selain capaian yang lebih pantas.
Bagaimanapun, penggunaan gelombang yang lebih pendek menyukarkannya menembusi dinding dan objek-objek pepejal lain. Selain itu, jalur WiFi ini juga mempunyai jarak capaian yang lebih dekat dan memerlukan pengguna memasang penambah jarak (range extender) atau sistem WiFi mesh bagi meningkatkan jarak sambungannya. Justeru, menambahkan kos pemasangan rangkaian nirwayar anda.
Jalur nirwayar berfrekuensi 6GHz pula diperkenalkan melalui piawaian Wi-Fi 6E dan eksklusif untuk peranti yang menyokong piawaian Wi-Fi 6E dan ke atas termasuk Wi-Fi 7 dan lain-lain. Ini bermakna, melalui 6GHz, rangkaian WiFi tidak perlu diperlahankan bagi menyokong peranti-peranti usang (legacy).
Jalur 6GHz juga menyokong hampir dua kali lebih banyak saluran berbanding 5GHz. Kurang peranti, lebih banyak spektrum dan lebih lebar jalur boleh mengurangkan interferens dan kesesakan rangkaian.
Apa itu Router Dual-Band dan Tri-Band?
Buat masa ini, kebanyakan router-router dan juga sesetengah modul router telefon pintar mampu berperanan sebagai router dual-band atau tri-band. Router dual-band menyiarkan kedua-dua jalur isyarat 2.4 GHz dan 5GHz. Secara tidak langsung menyediakan dua rangkaian WiFi yang menggabungkan kelebihan kedua-duanya. Router dual-band boleh hadir dalam dua bentuk, iaitu;
- Selectable dual-band. Router jenis ini menawarkan rangkaian WiFi 2.4GHz dan 5GHz, namun hanya boleh menggunakan salah satunya sahaja dalam satu-satu masa. Anda perlu mengubahkan ke jalur pilihan anda sendiri.
- Simultaneous dual-band. Router jenis ini menyiarkan rangkaian WiFi 2.4GHz dan 5GHz secara berasingan dalam satu-satu masa. Seterusnya memberikan anda dua rangkaian WiFi yang boleh dipilih apabila anda membuat tetapan baharu peranti anda. Sesetengah model router membenarkan pengguna menetapkan SSID yang sama ke dua-dua jenis jalur WiFi ini supaya peranti-peranti melihatnya sebagai sebuah rangkaian sahaja. Harga bagi router ini juga sedikit mahal jika dibandingkan dengan jenis selectable.
Router tri-band pula menyiarkan tiga rangkaian secara serentak iaitu – dua isyarat 5GHz dan satu 2.4GHz. Penggunaan kaedah ini bertujuan mengurangkan kesesakan sesebuah rangkaian. Bagi anda yang memiliki banyak peranti-peranti yang bergantung dengan rangkaian 5GHz dan 6GHz seperti penstriman video atau permainan, anda mungkin boleh memanfaatkan router jenis ini sebaiknya.
Kesimpulan
Pemilihan jenis jalur WiFi sama ada 2.4GHz atau 5GHz mahupun 6GHz adalah bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa ketika penggunaannya. Jika penggunaan sekadar melayari internet biasa dan di rumah berkeluasan kecil, mana-mana jalur tidak memberikan kesan ketara.
Namun, jika anda tinggal di rumah yang luas dan memerlukan sambungan yang lebih stabil dan pantas, anda mungkin perlu mengambil pertimbangan sewajarnya pilihan jalur WiFi 2.4GHz atau 5GHz.
Imej pengatas dari Freepik