Minggu lalu OPPO telah mengumumkan telefon pintar peringkat menengah terbarunya OPPO A78 5G akan memasuki ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Berdasarkan imej acah yang dimuat naik di dalam halaman kedai dalam talian rasmi OPPO di Shopee dan Lazada, telefon pintar berkenaan dijadualkan akan dilancarkan pada hari Sabtu ini, 14 Januari 2023.
Berkesinambungan dari OPPO A77 5G yang dilancarkan pada tahun lepas, telefon pintar terkini OPPO ini juga menampilkan paparan bertakuk.
Bahagian belakangnya pula tampil berbeza dengan kali ini hadir dengan dua bulatan yang menempatkan kamera belakangnya.
Selain hadir dengan penarafan kerintangan air IPX4, OPPO A78 5G mempunyai kerangka yang lebih rata dan dengan kemasan metalik. Pilihan warnanya pula hadir dalam bentuk Glowing Black dan Glowing Purple.
Skrinnya menampilkan paparan LCD 6.56-inci beresolusi 1612 x 720 piksel, kadar penyegaran semula 90Hz, kadar pensampelan sentuhan 90Hz, kecerahan puncak 600 nits dan dilindungi oleh Panda Glass. OPPO A78 5G juga mempunyai pengimbas cap jari pada bahagian sisinya, serta sepasang pembesar suara stereo dan bicu audio 3.5mm.
Pemprosesan yang biasa-biasa sahaja
Kuasa pemprosesannya pula untuk keluaran tahun ini dilihat sedikit kurang jika dibandingkan dengan OPPO A77 5G pada tahun lepas. Kali ini, model berkenaan menggunakan MediaTek Dimensity 700 bersama-sama GPU Mali-G57 MC2, RAM LPDDR4X 8GB, storan dalaman UFS 2.2 128GB dan juga slot kad mikroSD.
Untuk kameranya pula, telefon pintar ini mempunyai dwi-kamera pada bahagian belakangnya yang terdiri daripada satu kamera utama 50MP f/1.8 dan kamera mono f/2.4. Pada sebelah hadapan pula disediakan satu kamera 8MP f/2.0 yang juga mampu merakam video sehingga 1080p pada 30fps, sama seperti kamera belakangnya.
Melalui bateri berkapasiti 5,000mAh, telefon pintar ini menyokong pengecasan pantas 33W menerusi USB-C. Menurut OPPO, pengecasan tersebut berkeupayaan mengecas telefon ini sehingga 52% penuh dalam tempoh setengah jam.
OPPO A78 5G yang menggunakan antaramuka ColorOS 13 berasaskan Android 13 ini turut menawarkan sokongan ketersambungan Wi-Fi 5, Bluetooth 5.3 dan NFC.
Harga OPPO A78 5G di Malaysia
Setakat ini OPPO masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelancaran secara rasmi OPPO A78 5G di Malaysia setakat ini. Bagaimanapun, beberapa penjual tempatan di Shopee dan Lazada telah pun menyenaraikan harga telefon pintar berkenaan pada RM1,029.
Tidak dapat dipastikan sama ada harga tersebut adalah rasmi memandangkan OPPO masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung harga telefon pintar tersebut di pasaran Malaysia.