RHB Bank telah mengumumkan platform perbankan internet dan mudah alih RHB Now akan ditamatkan bermula 31 Mac 2023. Pengguna sedia ada digalakkan untuk berpindah ke RHB Online Banking untuk terus menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian bank berkenaan.
Menurut laporan oleh RinggitPlus, RHB menyatakan keputusan untuk menamatkan RHB Now ini adalah bagi memastikan perlindungan pengguna lebih terjamin menerusi peningkatan keselamatan yang ditawarkan melalui platform dalam talian baharunya.
Selain itu, langkah ini juga selaras dengan arahan Bank Negara Malaysia yang memerlukan kesemua bank memperkukuhkan kesemalatan dalam talian perkhimdatan masing-masing.
RHB Online Banking menyediakan kesemua perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh platform dalam talian RHB yang sedia ada. Ia hadir dengan antaramuka serba baharu dan URL baharu menerusi URL di onlinebanking.rhbgroup.com. Sebelum ini RHB telah pun memindahkan perkhidmatan Foreign Telegraphic Transfer (FTT) ke laman web baharu ini pada 19 Disember 2022.
Sungguhpun berbeza platform, pengguna RHB Now sedia ada boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan pada RHB Online Banking tanpa perlu mewujudkan akaun baharu. Pengguna hanya perlu melog masuk nama pengguna dan kata laluan yang sama.
RHB Bank juga menggalakkan pengguna berpindah ke platform baharu ini dengan segera agar pemindahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
Untuk makumat dan pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pusat panggilan RHB Bank di talian +603 9206 8118, atau emel di customer.service@rhbgroup.com. Anda juga boleh menghubungi menerusi akaun Facebook dan Twitter RHB Bank rasmi.