Utama Teknologi Kecerdasan Buatan OpenAI mengumumkan GPT-4o; Ditawarkan juga kepada Pengguna Percuma dengan Penggunaan Terhad

OpenAI mengumumkan GPT-4o; Ditawarkan juga kepada Pengguna Percuma dengan Penggunaan Terhad

161
0

OpenAI telah mengumumkan apa yang didakwanya sebagai lonjakan besar dalam usahanya memajukan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Ia hadir dalam bentuk model AI terkini yang dinamakan sebagai GPT-4o.

Huruf “o” di dalam GPT-4o tersebut bermaksud “omni” yang melambangkan keupayaannya untuk menerima “sebarang kombinasi teks, audio dan imej.” Ia juga boleh menghasilkan output daripada media berkenaan dalam “tempoh sepantas 232 milisaat.”

Pengumuman tersebut hadir bersama-sama satu demonstrasi perbualan secara lisan dengan OpenAI GPT-4o. Sama dengan cara “perbualan” dengan chatbot berfungsi, soalan-soalan pendek daripada pengguna akan dijawab secara panjang lebar dari model tersebut.

Perbezaannya yang amat ketara pada model baharu ini adalah anda boleh menyampuknya ketika jawapan daripadanya sedang ditulis. Ia akan menamatkan skripnya yang masih lagi berbaki dan akan mula mengambil maklumat yang baharu diterimanya.

Di dalam demonstrasi berkenaan juga menunjukkan model-model tersebut berinteraksi dengan lancar. Suara yang dihasilkannya kelihatan semula jadi dengan intonasi yang nampak hampir sama seperti manusia. Cuma “perangainya” kelihatan “suka bercakap meleret-leret.”

Demonstrasi OpenAI berkenaan juga menunjukkan dua contoh dari GPT-4o berkenaan berborak sesama mereka disamping turut bernyanyi secara berduet.

Intonasi suara yang pelbagai ini juga dibawa pada demonstrasi-demonstrasi yang lain dengan contoh model berkenaan memberikan komen tentang gaya seseorang individu berdasarkan apa yang dilihat melalui kamera hadapan telefon pintar yang menempatkan model tersebut. Ia juga menunjukkan demo mengajar matematik dan Bahasa Sepanyol selain turut melakukan terjemahan secara langsung untuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Itali.

OpenAI memaklumkan GPT-4o akan ditawarkan kepada semua penggunanya termasuk pengguna ChatGPT versi percuma. Bagaimanapun, pengguna versi percuma mempunyai had yang telah ditetapkan untuk menggunakannya.

Dalam pada masa yang sama, OpenAI turut mengumumkan pihaknya akan menerbitkan aplikasi ChatGPT untuk macOS dalam bentuk percuma dan premium. Cuma ia bukanlah ada kaitan dengan iOS 18 buat masa ini. Versi Windows sedang diusahakan dan dijangka akan diperkenalkan dalam tahun ini juga.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.