OnePlus dilaporkan akan memperkenalkan telefon pintar boleh lipat pertama keluarannya tidak lama lagi. Perkembangan ini seterusnya merancakkan lagi pasaran telefon pintar boleh lipat di dunia.
Jika Samsung memilih nama Z Flip dan Z Fold untuk telefon pintar gaya tersebut, OnePlus memilih untuk menggunakan nama Open. Rabu baru-baru ini Samsung telah memperkenalkan telefon pintar boleh lipat keluaran baharunya menerusi acara Galaxy Unpacked 2023 yang kedua.
Berdasarkan hantaran di platform media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter), OnePlus turut memberikan bayangan peranti berkenaan akan bersaing dengan Galaxy Z Fold dan seterusnya memberikan gambaran bentuknya mungkin mirip dengan pesaingnya kelak.
We OPEN when others FOLD
— OnePlus (@oneplus) July 26, 2023
OnePlus Open dijangka akan diumumkan di dalam sebuah acara yang akan berlangsung di New York pada penghujung Ogos ini.
Beberapa maklumat mengenai telefon pintar ini telah pun tersebar di internet termasuk gambarajah pengolokan 3 dimensi peranti berkenaan.
Desas-desus mengatakan OnePlus Open akan mempunyai skrin cover AMOLED 6.3-inci beresolusi FHD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga mempunyai kamera swafoto 20MP di dalam paparan berpenebuk lubangnya. Skrin utamanya pula merupakan jenis AMOLED LTPO 7.8-inci beresolusi 1,900 x 2,100 dan kadar penyegaran semula 120Hz. Kamera pada paparan dalamannya ini pula dikatakan mempunyai 32MP.
Dikhabarkan juga telefon pintar dengan teknologi skrin boleh lipat ini akan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, bersama-sama RAM 16GB dan storan 512GB. Kamera utama dan ultra-lebarnya pula masing-masing 50MP dan 48MP dengan telefoto 64MP. Ia juga dikatakan akan hadir denga bateri berkapasiti 4,800mAh dan sokongan pengecasan pantas 67W.