Pakej Jalur Lebar Talian Tetap Rahmah Allo di bawah inisiatif Pakej Rahmah menawarkan pakej langganan pada harga RM69 sebulan dengan kontrak 24 bulan, menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Februari lalu, penyedia-penyedia perkhidmatan internet (ISP) telah memperkenalkan pelan di bawah Pakej Perpaduan yang menawarkan internet 30Mbps pada harga RM69 sebulan.
Pelan berkenaan ditawarkan kepada pakej itu khusus kepada golongan B40, warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan juga pesara. Pakej berkenaan kemudiannya ditukarkan kepada Pakej Rahmah dengan ISP yang baharu turut serta, Allo Technologies menawarkan pelan yang sama dengan lebih kelajuan.
Pakej Rahmah Allo
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan pelan Rahmah Allo menyediakan perkhidmatan internet dengan data tanpa had sepanjang tempoh kontrak tersebut. Para pelanggan seterusnya dapat menjimatkan sebanyak RM30 dari pakej biasa yang ditawarkan oleh syarikat tersebut pada harga RM99.
“Apa yang lebih menarik ialah tawaran pakej ini tiada had waktu iaitu tawaran berkekalan. Tahniah kepada Allo kerana turut menawarkan Pakej Rahmah meskipun harga pakej semasa mereka sudah kompetitif berbanding yang lain,” ujar Fahmi Fadzil ketika majlis pelancaran yang diadakan tadi.
Pakej ini ditawarkan khusus kepada kumpulan sasar seperti berikut:
- Golongan B40
- Warga emas
- Orang kurang upaya (OKU)
- Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
- Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
- Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA)
“Dengan liputan Allo yang bertumpu kepada kawasan pinggir dan luar bandar iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Cyberjaya, inisiatif ini mampu memberi impak yang besar dalam usaha merapatkan jurang digital,” katanya.
Pakej ini merupakan kerjasama strategik di antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Allo Technology Sdn Bhd, and Tenaga Nasional Bhd.
Menurut Fahmi, pakej ini meliputi kawasan bandar dan juga luar bandar terutamanya di kawasan perumahan awam di sekitar Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Anda juga boleh membuat semakan kawasan liputan perkhidmatan internet jalur lebar yang ditawarkan Allo menerusi laman web rasminya.