Nokia Technologies mendakwa Apple tidak membayar penggunaan paten yang dimiliki mereka. Nokia Technologies merupakan bahagian paten peranti mudah alih dan bahagian pembangunan telefon mudah alih yang sebelum ini pernah diambil alih Microsoft.
Nampak gayanya, keadaan di mana pengeluar-pengeluar peranti mudah alih saling saman-menyaman antara satu sama lain disebabkan isu hak cipta paten masih lagi menunjukkan tanda-tanda reda.
Semalam, Nokia menyatakan bahawa ia kini dalam proses untuk menyaman Apple terhadap penyalahgunaan 32 paten pada telefon pintar keluarannya di Amerika Syarikat dan Eropah.
Sungguhpun pembelian Microsoft terhadap bahagian pembangunan telefon mudah alih Nokia tidak berjaya mengembalikan kegemilangannya sepertimana ketika era permainan Snake dan ringtone polifonik pada Nokia 3310 dahulu, Nokia masih lagi mampu bertahan pada bahagian-bahagian lainnya. Ia termasuk dengan bahagian yang menguruskan paten peranti mudah alih yang tidak terlibat di dalam pembelian Microsoft dahulu.
Bagaimanapun, Nokia menyatakan Apple pernah membayar untuk menggunakan sebilangan paten-patennya sejak dari 2011. Cuma persetujuan terhadap baki penggunaan 32 paten lagi masih belum mencapai sebarang kata putus.