Sebagaimana yang telah diketahui, jenama Nokia untuk telefon mudah alih kini dibawah tanggungjawab HMD Global. Walaupun syarikat berkenaan baru sahaja memeterai perjanjian mendapatkan jenama Nokia dua minggu sudah, semalam HMD Global telah pun mendedahkan telefon bimbit pertama keluarannya di bawah jenama Nokia.
Tapi bukannya Android seperti yang diharap-harapkan oleh ramai pihak.
Telefon bimbit biasa ini hadir dengan nama Nokia 150 dan dioperasikan melalui platform Nokia Series 30+. Telefon ini turut dilengkapi dengan paparan 2.4-inci QVGA (320 x 240) dengan kerangka polikarbonat. Ia turut diberikan kemasan cat tahan calar.
Lain-lain, Nokia 150 turut didatangkan bersama kamera VGA dengan flash LED yang juga boleh dijadikan sebagai lampu suluh. Dari segi storan, telefon bimbit ini menyediakan ruang slot mikroSD yang mampu menyokong sehingga 32GB.
Hadir dengan bateri berkapasiti 1020 mAh, telefon bimbit ini mampu menyediakan masa berbual sehingga 22 jam dan masa bersedia sehingga 31 hari.
Menurut HMD Global, Nokia 150 dan Nokia 150 Dwi-SIM akan hadir ke pasaran rantau Asia Pasifik, India, Timur Tengah, Afrika dan Eropah pada suku pertama tahun 2017 dengan harga USD26 (lebih kurang RM116).
Oleh kerana jenama telefon mudah alih dan tablet Nokia di bawah kendalian HMD Global, tidak dapat dipastikan sama ada telefon ini akan hadir ke pasaran Malaysia dalam masa yang dijadualkan tersebut.
Sumber berita diperoleh dari Nokia, HMD Global