Utama Telco Maxis Maxis bekerjasama dengan Nokia perkukuhkan Keselamatan Rangkaian, Tingkatkan Penawaran 5G di masa...

Maxis bekerjasama dengan Nokia perkukuhkan Keselamatan Rangkaian, Tingkatkan Penawaran 5G di masa hadapan

55
0
(Tengah) YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia bersama dengan (kiri) Ngiam Ming Kin, Ketua Infrastruktur Rangkaian Asia Selatan, Nokia dan (kanan) Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis di majlis Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah diadakan di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress 2024 di Barcelona, Sepanyol.

Kuala Lumpur, 11 Mac 2024 – Maxis Berhad (Maxis), penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, dan Nokia telah memperdalamkan kerjasama mereka untuk memacu ketersambungan generasi akan datang.

Perluasan kerjasama jangka panjang antara Maxis dan Nokia ini memfokuskan kepada dua bidang: kolaborasi untuk meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian, serta pelantikan Nokia oleh Maxis sebagai sebuah rakan untuk membina sebahagian daripada ekosistem Teras 5G Maxis bagi memenuhi keperluan ketersambungan masa hadapan.

Kolaborasi tersebut telah dimeterai di sebuah majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress 2024 yang diadakan di Barcelona baru-baru ini, disaksikan oleh Yang Berhormat Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi tersebut, Maxis akan bekerjasama dengan Nokia untuk menerokai pelaksanaan teknologi yang lebih baharu bagi mengukuhkan lagi rangkaian Maxis, meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan. Ini termasuk rangkaian optik selamat kuantum (quantum-safe optical networking) yang melindungi daripada ancaman kedua-dua komputer klasikal dan kuantum.

Tambahan pula, kedua-dua syarikat akan meneroka inovasi yang boleh memudahkan keterhubungan yang cekap dan boleh diskala merentas persekitaran awan untuk memperkukuh keselamatan rangkaian, turut memanfaatkan pelanggan perusahaan dengan keselamatan yang diperkukuh.

Langkah-langkah ini adalah sejajar dengan peningkatan dalam keperluan untuk infrastruktur rangkaian yang boleh menyokong kesalinghubungan yang teguh dan pertukaran data rentas sempadan yang lancar, disokong oleh pusat data optik yang lebih selamat.

Maxis baru-baru ini telah memilih Nokia sebagai sebuah rakan utama untuk membina sebahagian daripada ekosistem Teras 5G Maxis bagi memenuhi keperluan ketersambungan masa hadapan. Ini termasuk penggunaan penyelesaian berasaskan awan yang akan membolehkan Maxis memanfaatkan sepenuhnya keupayaan 5G, dengan kefungsian, kebolehpercayaan dan kecekapan yang lebih baik dalam memacu penawaran 5G generasi akan datang.

“Maxis gembira dapat mendalamkan lagi kerjasama kami dengan Nokia, melanjutkan hubungan kerjasama jangka panjang kami sejak dua dekad yang lalu dan merintis dalam bidang ketersambungan. Sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka di Malaysia, kami mengharapkan kerjasama yang lebih rapat dalam menginovasi merentas ekosistem rangkaian kami serta penawaran 5G. Ini akan memastikan kami bersedia pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang terus meningkat untuk ketersambungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai,” kata Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan Maxis untuk meningkatkan infrastruktur rangkaiannya. Kerjasama ini akan membuka peluang kepada Maxis dan Nokia untuk bersama-sama meneroka dan mencipta kejayaan dalam pelbagai segmen infrastruktur rangkaian, seperti rangkaian tetap, IP dan rangkaian optik, memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data, 5G, dan kuasa pengkomputeran di negara ini, sejajar dengan gelombang AI,” kata Ngiam Ming Kin, Ketua Infrastruktur Rangkaian Asia Selatan, Nokia.

Dengan memanfaatkan faedah kerjasama, Maxis komited untuk terus memainkan peranannya dalam memacu cita-cita digital negara, memastikan semua rakyat Malaysia dan perniagaan Malaysia dapat menikmati kesalinghubungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.