Nintendo telah mendedahkan secara lebih lanjut berkenaan konsol permainan terbarunya, Switch. Banyak perubahan yang dibawa melaluinya berbanding konsol-konsol pegang terdahulu yang pernah dihasilkan oleh syarikat permainan dari Jepun ini.
Antara perubahan yang dibawakan pada Nintendo Switch ini adalah tiada lagi penguncian mengikut rantau (region lock) pada kesemua perisian konsol berkenaan. Kini, tiada lagi masalah untuk mendapatkan permainan yang terkunci disebabkan rantau yang berbeza. Juga, memberikan ruang buat para pembangun permainan untuk menembusi segmen pasaran yang lebih luas.
Perkhidmatan pembayaran atas talian turut diperkenalkan dan bagaimanapun, maklumat berkenaan akan didedahkan dengan lebih terperinci pada bulan-bulan yang terdekat ini.
Menurut Nintendo, Switch memiliki tempoh penggunaan bateri sekitar dua setengah jam sehingga enam setengah jam; bergantung dengan jenis permainan yang dimainkan padanya. Ia juga tidak memerlukan dok untuk dicaskan, sebaliknya ia hanya memerlukan penyambung USB Type-C biasa yang digunakan pada telefon pintar hari ini.
Alat kawalan Joy-Con yang hadir bersama-sama konsol ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Setiap sisi pengawal ini hadir dengan gegasing (gyroscope) dan meter pecut (accelerometer). Justeru membenarkannya berfungsi sama seperti alat kawalan Nintendo Wii. Alat kawalan untuk Nintendo Switch ini juga hadir dengan butang L dan R.
Kedua-dua belah sisi kiri dan kanan Joy-Con ini unik antara satu sama lain yang mana pada sebelah kanannya dilengkapi dengan cip NFC dan boleh membaca data Amiibo. Manakala pada sebelah kiri pula dilengkapi dengan kamera IR serta boleh mengesan bentuk-bentuk asas yang dilukiskan bergantung dengan permainan apa yang dimainkan.
Joy-Con juga hadir dengan variasi tiga warna yang berbeza, Neon Blue, Neon Red dan warna kelabu gelap.
Nintendo Switch akan dilancarkan pada 3 Mac di Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, negara-negara Eropah terpilih, Hong Kong dan sesetengah negara yang belum dinamakan. Ia bakal dijual pada 29,980 Yen di Jepun dan US$299.99 (bersamaan RM1,339) di Amerika Syarikat. Alat kawalan Joy-Con pula akan dijual berasingan pada harga yang masih belum dinyatakan.
-Sumber berita diperoleh dari Engadget