Alat kawalan Nintendo Switch Joy-Con tidak lama lagi akan menyertai senarai peranti pihak ketiga yang disokong oleh platform permainan berkomputer, Steam. Pengumuman tersebut telah diumumkan oleh Valve menerusi laman komunitinya. Buat masa ini, pihak Valve sedang menguji ketersesuaian peranti berkenaan menerusi ujian beta.
Menurut Valve, Joy-Cons boleh digunakan secara berpasangan atau secara individu, sama seperti yang biasa digunakan pada Switch. Ini memudahkan pengguna untuk bermain bersama-sama kenalan secara fizikal untuk bermain permainan berpasukan di Steam.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Steam akan menambah sokongan untuk ciri HD Rumble di dalam alat kawalan Switch berkenaan. Dalam pada masa yang sama, ia juga bergantung pada sesebuah judul permainan yang menawarkan sokongan tersebut yang mirip dengan DualSense pada Sony PlayStation.
Selain itu, berkemungkinan besar sokongan untuk ciri unik Joy-Con iaitu kawalan berasaskan gerakan tidak akan diperkenalkan. Ketiadaan ciri ini bagaimanapun tidak mendatangkan kesan besar kerana buat masa ini tiada permainan pada Steam yang mewajibkan penggunaan ciri kawalan dengan kaedah tersebut. Steam menawarkan permainan berasaskan VR yang memerlukan kaedah alat kawalan tertentu seperti Oculus, HTC Vive dan Valve Index.
Valve tidak mehyatakan bilakah sokongan untuk Joy-Con dijangkan akan diperkenalkan kepada umum pada platform Steam. Berdasarkan perkembangan semasanya yang kini berada di peringkat ujian beta, mungkin paling lama pun ia akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.