Malaysia akan memperkenalkan kad pengenalan atau MyKad baharu yang disasarkan untuk menangani penipuan identiti. Perkara ini didedahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi soal jawab di Parlimen baru-baru ini.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam peringkat akhir melengkapkan struktur kad pengenalan baharu tersebut. Ujar beliau, kad pengenalan baharu ini akan menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan melalui teknologi termaju bagi mencegah pemalsuan dan penyalahgunaan. Ia juga akan menggantikan versi sedia ada yang telah digunakan sejak dari 2012.
Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan pada MyKad baharu ini termasuklah penggunaan bahan polikarbonat yang lebih tahan dan kapasiti storan yang dipertingkatkan mengambil kira isu berkaitan kebocoran dan pemalsuan data. Rekaan baharu ini juga akan menggabungkan elemen-elemen moden seperti pembenaman berlaser dan hologram bagi meningkatkan ciri keselamatan serta menyukarkan aktiviti pemalsuan.
Dari segi kos, menteri berkenaan menyatakan JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan nilai yang paling optimum. Tarikh pelancaran MyKad generasi baharu ini bagaimanapun masih lagi belum diputuskan buat masa ini.
Pembaharuan ini kelak jika dilaksanakan akan menjadi yang keenam sejak dokumen pengenalan diri pertama diperkenalkan pada 1948. Setiap perubahan memperkenalkan pembaharuan yang berbeza dari sebelumnya dengan membawakan penggunaan bahan yang lebih bagus, rekabentuk baharu dan juga pelaksanaan cip pintar pelbagai guna.