Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan kad pengenalan (MyKad) dan pasport versi baharu yang dilengkapkan dengan ciri keselamatan terkini mulai Jun ini.
Pengenalan dokumen pengenalan diri berwajah baharu ini akan diluncurkan seiring dengan pelaksanaan sepenuhnya Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
Inisiatif strategik ini bertujuan untuk memperkemas pengurusan identiti digital rakyat serta mengekang sebarang cubaan penipuan dan pemalsuan dokumen.
Pengenalan MyNIISe, sebuah sistem teras imigresen yang canggih, akan memperkukuh keselamatan negara. Dalam pada masa yang sama memastikan proses pergerakan rakyat di sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan cekap.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelaksanaan merupakan pencapaian KDN dalam menaik taraf penyampaian perkhidmatan pengurusan identiti negara.
“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik Jun ini kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik,” kata beliau.
Beliau juga menegaskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah bersedia sepenuhnya dengan pelan pelaksanaan.
MyKad dan pasport versi baharu akan memanfaatkan teknologi penyulitan (encryption) yang lebih teguh serta keupayaan pengesahan digital menggunakan kod QR, menjadikannya sukar untuk dimanipulasi.
Sistem MyNIISe pula bertindak sebagai infrastruktur berpusat dengan menyediakan prasyarat digital yang lengkap sebelum peluncuran untuk mengendalikan maklumat permohonan dengan lebih sistematik.
Pembaharuan ini amat penting bagi memelihara reputasi pasport Malaysia yang kini menduduki ranking ketiga sebagai pasport paling dipercayai di dunia.









