Utama Sistem Operasi Windows Aplikasi Microsot PC Manager Baharu kini tersedia di Windows 10 dan Windows...

Aplikasi Microsot PC Manager Baharu kini tersedia di Windows 10 dan Windows 11

188
0

Microsoft PC Manager, aplikasi pembersihan PC mirip CCleaner kini mula tersedia di lebih banyak negara. Menurut laporan dari Windows Latest, perisian berkenaan boleh dimuat turun melalui Microsoft Store dan sesuai untuk Windows 11 dan Windows 10 versi 19042.0 dan ke atas.

Aplikasi tersebut merupakan produk dari Microsoft China yang asalnya diterbitkan dalam versi Mandarin pada Januari tahun ini. PC Manager versi terkini yang lebih meluas ini mempunyai lebih banyak ciri dengan rekaan yang telah diperkemaskan antaramuka penggunanya. Seperti CCleaner, ia mampu menguruskan storan dalaman, memori, aplikasi yang dipasangkan, membuang fail-fail sementara dan banyak lagi.

Microsoft PC Manager menggabungkan keupayaan utiliti natif Windows dengan penambahan ciri-ciri baharu bagi menghasilkan perisian yang lebih komprehensif. Perubahan terkini yang diperkenalkannya termasuklah bar alatan terapung untuk akses segera, membolehkan pengguna meningkatkan prestasi PC atau memulakan alatan lain dengan mudah. Berikut adalah beberapa alatan yang ditawarkan di dalam aplikasi yang baharu diterbitkan tersebut:

  • PC Boost – Fungsi ini mematikan proses yang tidak diperlukan dan menghapuskan fail sementara di dalam komputer anda. Ia juga menawarkan pilihan Smart Boost yang diaktifkan apabila penggunaan RAM melonjak atau apabila saiz fail-fail sementara melebihi 1GB.
  • Deep Cleanup – Fungsi ini mengenalpasti fail-fail kemaskini Windows yang lapuk, kandungan di dalam Recycle Bin, cache web, dan cache aplikasi. Pengguna ditawarkan pilihan untuk membuang atau mengekalkan fail-fail yang telah ditandakan.
  • Process –  Alatan ini menyediakan pandangan komprehensif kesemua proses aktif pada PC anda di dalam antaramuka aplikasi. Pengguna boleh mematikan sebarang proses terus dari aplikasi dan seterusnya mengurangkan keperluan untuk membuka Task Manager.
  • Startup – Pengguna boleh menguruskan semua aplikasi yang dibuka ketika PC dihidupkan. Mirip dengan alatan Process, ia menggaris arus proses dan mengurangkan kebergantungan dengan Task Manager.
  • Large Files – Fail-fail bersaiz besar di dalam peranti lebih mudah dijejak tanpa perlu menelurusi di dalam File Explorer.

Juga terdapat bahagian Toolbox yang menyediakan pintasan untuk anda menggunakan alatan Windows yang berguna seperti Screenshot, Recorder, Calculator, Captions, Screenshot folder, dan Notepad. Anda juga boleh menemukan pengubah nilai matawang, Bing Translator, dan juga pautan-pautan yang anda jadikan sebagai pintasan di pelayar web Edge.

PC Manager kini sedia untuk dimuat turun di Microsoft Store secara percuma.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.