Utama Mobile Akhirnya, Microsoft tamatkan hayat Windows Phone

Akhirnya, Microsoft tamatkan hayat Windows Phone

917
0

Setelah bertungkus lumus selama 17 tahun untuk kekal relevan di dalam arena telefon pintar, Microsoft akhirnya telah menamatkan segala usaha pembangunan sistem operasi Windows Phone.

Menurut kenyataan dari seorang pegawai kanan Microsoft, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan kefungsian baharu mahupun telefon pintar baru. Seterusnya, memberi makna Microsoft sudah tak ambik port lagi pasal telefon pintar.

Microsoft pernah menghasilkan pelbagai versi sistem operasi peranti mudah alih ini sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2000. Versi paling terkininya adalah Windows 10 Mobile yang hadir pada tahun 2015. Buat masa ini, menurut Pengarah Bahagian Windows Microsoft – Joe Belfiore, hanya kemaskini keselamatan sahaja disediakan untuk Windows Phone.


Tambah beliau lagi, disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap Windows Phone, para pembangun-pembangun aplikasi kebanyakannya enggan menghasilkan aplikasi mudah alih khusus untuk sistem operasi berkenaan.


Dalam keadaan pasaran telefon pintar yang dimonopoli oleh sistem operasi Android dan Apple iOS untuk iPhone, telefon pintar yang dioperasikan Windows berdepan cabaran yang getir untuk dipasarkan. Peranti Windows mencatatkan jumlah jualan kurang dari 1 peratus dari keseluruhan jualan telefon pintar di pasaran global pada suku tahun keempat 2016.

Telefon pintar terakhir yang dibangunkan oleh Microsoft adalah siri Microsoft Lumia sebelum hak pemegang lesen produk Nokia dijual kepada syarikat dari Finland, HMD Global pada 2016.

Perisian mudah alih pertama yang dihasilkan oleh Microsoft pada ambang millennium dahulu dikenali sebagai PocketPC 2000, sebelum namanya ditukarkan kepada Windows Mobile pada 2003. Seterusnya, namanya telah ditukarkan kepada Windows Phone pada 2010 dan Windows 10 Mobile pada 2015.

Pada kemaskini terbaru yang dikeluarkan untuk sistem operasi PC dan tabletnya, tiada khabar berita mengenai sistem operasi telefon mudah alih dari Microsoft ini. Mungkin, slogan “mobile first, cloud first” yang digunapakai oleh Microsoft selama ini sudah lagi tidak relevan.

Apa pun, Microsoft masih lagi menyokong telefon-telefon pintar Lumia yang dikeluarkannya dan juga telefon-telefon Windows Phone yang lain.

Sumber berita diperoleh dari TechCrunch

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.