Microsoft tidak begitu berkenan apabila penggunanya menggunakan pelayar Edge keluarannya hanya sekadar untuk memuat turun pelayar Google semata-mata. Keadaan ini dilihat semakin jelas melalui notifikasi baharu yang diajukannya.
Berdasarkan laporan, Microsoft Edge akan memaparkan pelbagai mesej kepada pengguna yang menunjukkan pelayar tersebut adalah lebih bagus berbanding Google Chrome.
Antara mesej-mesej yang dipaparkan kepada pengguna yang ingin pergi laman muat turun Chrome termasuklah:
- “Microsoft Edge runs on the same technology as Chrome, with the added trust of Microsoft.”
- “That browser is so 2008! Do you know what’s new? Microsoft Edge.”
- “‘I hate saving money,’ said no one ever. Microsoft Edge is the best browser for online shopping.”
Sumber tersebut turut menyatakan notifikasi yang diajukan ini bukanlah seperti biasa yang terdapat di dalam sesetengah laman web. Ia dihasilkan secara natif di dalam Microsoft Edge memandangkan laman-laman web lain tidak memaparkan mesej yang diajukan tersebut.
Terdapat juga laporan sebelum ini yang mengatakan Windows 11 akan menjadikan pengguna lebih sukar untuk menukar ke pelayar lalai lain. Jika pengguna tidak melakukan tetapan tersebut ketika membuka pelayar berkenaan, pengguna perlu menukar tetapan jenis fail untuk dibuka bersama pelayar berkenaan seperti HTM, HTML, PDF, SHTML, SVG, WEBP, XHT, XHTML, FTP, HTTP, dan HTTPS kemudian.