Microsoft sekali lagi telah ‘mengusik’ tetapan akaun setempat (local account) di dalam Windows 10 dan perubahan terbaru ini mungkin tidak disenangi oleh sebahagian penggunanya.

Tahun lalu, Microsoft telah mula menjalankan pengujian pemasangan baru Windows 10 yang tidak mempunyai pilihan mewujudkan akaun setempat. Proses pemasangan terbaru tersebut memerlukan pengguna menyambung ke talian internet bagi membolehkan pendaftaran dan log masuk akaun Microsoft dilakukan.

Walaubagaimanapun, pengguna yang tetap berkeras ingin menggunakan akaun setempat masih lagi boleh melakukannya dengan memutuskan talian internet ketika proses pemasangan. Atau, dengan mengubah tetapan pada Akaun Pengguna selepas proses pemasangan sistem operasi berkenaan selesai dilakukan.

Sungguhpun langkah pemasangan Windows 10 terbaru ini dijangka hanya terhad kepada pengguna di benua Amerika Utara sahaja, terdapat ura-ura yang mengatakan ianya bakal diperkenalkan kepada pengguna-pengguna di rantau lain. Laman blog teknologi berbahasa Jerman, Dr. Windows telah menyatakan cara pemasangan terbaru ini kini di dalam peringkat pengujian A/B untuk bakal dilaksanakan kepada pengguna-pengguna Windows 10 di Jerman.

Microsoft kini sedang giat membiasakan pengguna-penggunanya dengan menyegerakkan (synchronize) tetapan sistem dengan akaun Microsoft melalui kemaskini-kemaskini terbaru yang diperkenalkan. Penyegerakkan tetapan sistem dengan akaun pengguna bukanlah sesuatu yang baru kerana Google dan Apple turut menggunakan cara yang sama melalui peranti masing-masing, Chromebook dan peranti iOS.

Komuniti pengguna PC/Windows bagaimanapun kurang bersetuju dengan pelaksanaan langkah pemasangan terbaru ini. Hal ini mungkin disebabkan pengguna-pengguna Windows rata-ratanya sudah terbiasa mengguna menggunakan akaun setempat sejak era Windows XP lagi.

Sumber berita diperoleh dari Neowin

Tinggalkan komentar