Windows-10-Third-Party-Driver

Di dalam Windows 10, pemacu (driver) diperlukan apabila anda mahukan komputer berinteraksi dengan perkakasan tertentu seperti kad grafik dan adapter rangkaian.

Kebiasaannya, pemacu-pemacu ini dipasang secara automatik apabila anda menyambungkan peranti atau membuat semakan kemaskini menggunakan perkhidmatan Windows Update.

Bagaimanapun, kadangkala pemacu Windows 10 boleh menjadi punca masalah yang serius seperti isu keselamatan. Di dalam Windows 10 kesemua pemacu (termasuk pemacu pihak ketiga) disimpan bersama-sama di dalam DriverStore. Ianya ditempatkan di dalam folder System32 dan boleh memberi kesan terhadap sistem operasi.

Microsoft telah menggunakan folder “DriverStore” untuk menyimpan kesemua pemacu ini sejak memperkenalkan Windows Vista dahulu.

Ianya dikatakan hanya menyimpan pemacu-pemacu pihak pertama dan pihak ketiga yang “boleh dipercayai”. Folder ini hanya membenarkan pemacu-pemacu berasaskan fail INF dan pakej pemacu tidak disimpan di dalamnya jika fail INF tidak disertakan.

Melalui kemaskini Sun Valley Windows 10, Microsoft merancang untuk mengalihkan pemacu pihak ketiga keluar dari folder System32. Selepas kemaskini berkenaan, pemacu-pemacu pihak ketiga ini akan disimpan di dalam folder baharu “OEMDRIVERS” C:\Windows\OEMDRIVERS) berbanding sebelumnya di DriverStore (C:\Windows\System32).

Windows akan masih lagi mengesahkan tandatangan digital pemacu pihak ketiga berkenaan sebelum menyalin pakej ke dalam folder “OEMDRIVERS” baharu.OEM Drivers Folder

Perubahan penting ini kini telah pun dimasukkan ke dalam binaan pratonton Windows 10. Namun ianya hanya boleh diuji apabila anda menaik taraf Windows 10 versi 21H2 pada mesin maya (virtual machine).

Sama seperti Windows 10X, sokongan “OEM DRIVERS” membolehkan sistem operasi diasingkan dari pemacu-pemacu pihak ketiga. Ia seterusnya dapat meningkatkan ciri keselamatan sistem.

Pengasingan folder OEMDrivers ini lebih dari sekadar penambahbaikan ciri keselamatan, malah bonus untuk prestasi sistem terutamanya bagi anda yang kerap mengemaskini pemacu pihak ketiga.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pengasingan ini dapat mengurangkan ralat Skrin Biru Maut (BSOD) dan tergendala pada Windows 10.

Ciri Windows 10X bakal diluncurkan ke dalam Windows 10

Selain dari penambahbaikan pemacu, Microsoft turut membawakan fungsi dari Windows 10X ke dalam kemaskini Sun Valley Windows 10.

Misalnya, Action Centre akan dikemaskini dengan antaramuka adaptif baharu yang mneyediakan akses ke tetapan pantas dan notifikasi. Rupa luaran juga bakal mengalami perubahan dari segi reka bentuk ikon dan paparannya.

Microsoft telah pun memulakan pengujian tetapan personalisasi baharu, fungsi baharu untuk papan kekunci sesentuh, sokongan antaramuka sentuhan yang ditambahbaik dalam File Explorer, serta ikon-ikon baharu.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.