Tolak tepi DVD atau Blu-Ray cetak rompak, lanun cetak rompak di Ethiopia (Habsyah) dilihat jauh ‘lebih maju’ apabila kini menyediakan kiosk yang membolehkan judul-judul filem cetak rompak dijual secara terus kepada pengguna melalui storan USB pengguna.
Kiosk berkenaan kelihatan seperti sebuah mesin ATM yang biasa kita lihat di pusat-pusat membeli-belah dan ia merupakan mesin layan diri yang membolehkan pengguna mendapatkan sendiri kandungan-kandungan tersebut. Ia kini dilaporkan terdapat di kebanyakan pusat-pusat membeli belah di seluruh Ethiopia menurut satu laporan dari TorrentFreak.
“Pada awal tahun ini, All Mart (pasaraya hiper seperti Tesco, Giant di Malaysia) akan membawakan mesin-mesin baru. Ia menyediakan paparan dengan labuhan USB dan kelihatan seperti mesin ATM. Ia dinamakan sebagai SwiftMedia dan penyelenggaraan akan dilakukan dari masa ke semasa,” menurut sebuah kenyataan yang disampaikan melalui TorrentFreak.
Kiosk SwiftMedia dilaporkan diselenggarakan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Escape Computing dan menjual produk berdasarkan pakej-pakej pada harga 25, 50 dan 100 birr (lebih kurang RM5, RM10, dan RM20). Untuk sebuah judul filem cetak rompak, ia mengenakan bayaran sekitar 3 hingga 5 birr untuk setiap muat turun.
Sumber berita diperoleh dari TorrentFreak