
KUALA LUMPUR, 13 November 2024 – Mastercard baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan ASEAN, sebuah organisasi antara kerajaan di bawah Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di negara anggota blok ini bagi meningkatkan kemampuan keselamatan siber bagi entiti sektor awam dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini yang dinamakan Program Kebingkasan Siber Yayasan ASEAN-Mastercard (ASEAN Foundation-Mastercard Cybersecurity Resilience Program), kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama: meningkatkan kesedaran, menyediakan kemahiran dan latihan, serta meningkatkan kapasiti melalui teknologi dan kecerdasan.
Kerjasama ini tepat pada masanya kerana keselamatan siber menjadi tumpuan utama dalam Belanjawan 2025 Malaysia. Kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM30 juta dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuhkan keselamatan siber dan kemahiran digital. Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh untuk melindungi infrastruktur digital Malaysia dan melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran keselamatan siber yang penting, selaras dengan objektif Program Kebingkasan Siber Yayasan ASEAN-Mastercard. Oleh itu, kerjasama ini akan melengkapkan usaha nasional Malaysia dengan memberikan latihan dan sumber yang disasarkan untuk meningkatkan kebingkasan keselamatan siber bagi PKS dan organisasi sektor awam di negara ini.
Dalam sektor swasta, inisiatif program ini akan ditujukan kepada PKS di rantau ini, yang merangkumi lebih daripada 97 peratus perniagaan di rantau ini dan menyediakan 85 peratus pekerjaan. Inisiatif termasuk:
- Membantu PKS menguruskan insiden siber melalui Mastercard Trust Center, portal layan diri dalam talian yang menyediakan pendidikan, sumber, dan alat percuma untuk menyokong perjalanan keselamatan siber mereka.
- Membolehkan PKS mengenal pasti kerentanan dalam operasi mereka melalui My Cyber Risk Mastercard, alat yang membolehkan perniagaan mengenal pasti, memprioritikan, dan bertindak terhadap ancaman keselamatan siber kepada infrastruktur digital.
- Memastikan PKS sentiasa mendapat maklumat tentang ancaman dan isu terkini melalui bengkel keselamatan siber, webinar, dan acara industri yang berkaitan dengan keselamatan siber.
Dalam sektor awam, kerjasama ini akan menjalankan aktiviti penting bagi memastikan kesiapsiagaannya, termasuk:
- Mengadakan webinar keselamatan siber yang direka khusus untuk cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ASEAN, menyediakan kepakaran dalam isu utama bagi profesional sektor awam dalam peranan yang berkaitan dengan keselamatan siber.
- Melaksanakan latihan simulasi krisis untuk menilai kesediaan dan kebingkasan siber teknologi dan proses organisasi, serta mengenal pasti bidang yang boleh diperkuatkan.
- Menghasilkan laporan penyelidikan, menyediakan alat penilaian risiko untuk kerajaan ASEAN, dan memupuk dialog serta kerjasama awam-swasta bagi memerangi penipuan.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ASEAN untuk meningkatkan kemampuan keselamatan siber, pembangunan kapasiti siber, dan perkongsian maklumat jenayah siber bagi negara anggota.
Satvinder Singh, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, berkata: “Mencapai visi Ekonomi Digital ASEAN memerlukan integrasi serantau yang dipertingkatkan untuk membolehkan perniagaan beroperasi dengan lancar sambil menawarkan perkhidmatan digital yang cekap dan selamat kepada pengguna, termasuk penyelesaian e-pembayaran. Di tengah-tengah transformasi ini terletak keperluan untuk memperkukuhkan kebingkasan siber dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks dan meluas.”
Dr. Piti Srisangnam, Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, berkata: “Program Kebingkasan Siber Yayasan ASEAN-Mastercard adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kemampuan keselamatan siber rantau kita. Dengan ancaman siber yang semakin kompleks, adalah penting untuk membantu negara anggota kita bukan sahaja membina pertahanan yang lebih kukuh tetapi juga meningkatkan keupayaan mereka untuk berkongsi maklumat kritikal dan bekerjasama merentasi sempadan.”
Safdar Khan, Presiden Bahagian, Asia Tenggara, Mastercard, berkata: “Memperkukuhkan kapasiti dan kepakaran keselamatan siber adalah perlu untuk menghadapi ancaman digital yang berkembang pesat hari ini dan membina ekonomi digital yang kukuh. Kerjasama yang penting ini dengan Yayasan ASEAN untuk memperkukuhkan kemampuan keselamatan siber di seluruh Asia Tenggara menekankan komitmen Mastercard untuk memperkukuhkan kepercayaan dalam dunia digital.”
Mastercard telah berada di barisan hadapan dalam memperkukuhkan keselamatan siber dan memupuk kepercayaan digital, di peringkat global dan di seluruh Asia Tenggara, melalui pelbagai kerjasama dengan sektor awam dan swasta.