Lebih 73 peratus atau bersama-samaan kira-kira 21 juta nombor telefon mudah alih pengguna telah bocor atau dijual kepada scammer pada tahun lepas. Menurut Laporan Penipuan Tahunan Gogolook 2022, Malaysia telah merangkul kedudukan di tempat pertama bagi kebocoran nombor telefon mudah alih.
Di dalam kenyataan media yang dikeluarkan, syarikat keselamatan global Gogolook turut menyatakan maklumat peribadi yang paling banyak dibocorkan melibatkan nama dan kata laluan untuk log masuk. Ia diikuti oleh alamat, negara, tarikh lahir dan alamat emel.
Laporan berkenaan juga menyatakan data yang telah dibocorkan tersebut boleh disalahgunakan untuk mencuri maklumat akaun perbankan dalam talian atau akaun media sosial.
Selain akses ke nama, nombor telefon dan juga rekod membeli-belah, scammer berkenaan juga berkemungkinan boleh menggunakannya untuk tujuan membuat serangan melalui panggilan telefon atau SMS.
Jika nama dan alamat pengguna dibocorkan, mangsa mungkin akan menerima pakej yang meminta perlu melunaskan bayaran untuk barangan yang tidak dipesan oleh mangsa tersebut. Malah, maklumat peribadi yang bocor ini pada kebiasaannya akan digunakan untuk tujuan penipuan.
Whoscall, yang juga dikuasakan oleh Gogolook turut mengealpasti lebih dari 405.4 juta panggilan dan mesej scam telah direkodkan sepanjang tahun lalu. 76% dari jumlah tersebut melibatkan penggunaan kaedah menghantar mesej berteks atas faktor kos yang lebih rendah selain lebih mudah mempengaruhi mangsa.
Laporan Tahunan Penipuan 2022 oleh Gogolook merangkumi maklumat peribadi tertiris dan operasi hiliran jenayah scam rentas negara seperti Taiwan, Japan, Thailand, Korea, dan Malaysia. Dokumen berkenaan yang juga diterbitkan bersama dengan Constella Intelligence, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan perlindungan risiko digital antarabangsa ini dihasilkan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai masalah penipuan digital.