Bersempena acara Mobile World Congress (MWC) 2022 yang kini sedang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, Lenovo turut berkesempatan melancarkan laptop baharunya, ThinkPad X13s.
Apa yang menarik dengan model ini adalah keunikannya selaku laptop ThinkPad pertama yang menggunakan pemprosesan mudah alih Snapdragon terbaru dari Qualcomm.
Lenovo ThinkPad X13s dilengkapkan dengan pemprosesan Snapdragon 8cx Gen 3. Ia merupakan pemprosesan yang dibina melalui proses pembuatan 5nm yang menawarkan peningkatan prestasi sebnayak 85% berbanding keluaran sebelumnya.
Pemprosesan ini juga dikatakan menawarkan pecutan grafik 60% lebih baik melalui GPU Adreno yang terbina di dalamnya. Ia juga menawarkan peningkat prestasi per-watt sehingga 60% berbanding pemprosesan x86. Laptop ini digandingkan dengan konfigurasi memori dan storan sehingga RAM 32GB dan storan dalaman sehingga 1TB melalui PCIe.
Untuk skrinnya, laptop ini menampikan paparan IPS WUXGA 13.3-inci dengan nisbah aspek 16:10. Laptop ini juga menawarkan pilihan jenis paparan sesentuh.
Selain itu, ThinkPad X13s juga menawarkan togol Trackpoint kecil yang ikonik sejak dari era IBM pada papan kekuncinya. Lain-lain ciri yang ditawarkan termasuklah:
- Webcam 5MP dengan sensor IR sebagai pilihan
- RGB
- Ciri Computer Vision
- Dua port USB-C 3.2 Gen 2
- Bluetooth 5.2
- Wi-Fi 6E
- Pilihan sokongan sambungan 5G
- Windows 11 Pro
Untuk baterinya pula, Lenovo mendakwa laptop ini mampu bertahan sehingga 28 jam penggunaan dengan hanya sekali cas sahaja.
Lenovo ThinkPad X13s disasarkan sebagai laptop paling mampu milik dikalangan siri tersebut. Di Eropah, laptop ini dijual pada harga EUR 1,399 (~RM 6,576). Dijangka hadir ke pasaran Eropah sekitar Mei 2022, perincian mengenai laptop ini akan diumumkan oleh Lenovo dalam masa yang terdekat ini.