Laptop bajet masih lagi menjadi pilihan pengguna terutamanya bagi golongan pelajar dan pengguna yang sekadar ingin melakukan tugasan-tugasan yang tidak membebankan kuasa pemprosesan komputer. Pemilihan laptop ini sebenarnya bergantung dengan tahap dan tujuan penggunaan komputer oleh pengguna itu sendiri.
Tidak ada gunanya membeli laptop diluar kemampuan jika tahap penggunaannya boleh ditampung oleh laptop-laptop yang dijual pada harga bajet. Bagi laptop-laptop bajet pada tahun 2016 ini, kapasiti memori yang ditawarkan adalah sekitar 2GB dan 4GB. Manakala storan pula adalah minima 500GB bagi HDD tradisional dan 32GB untuk model yang menggunakan SSD.
Untuk pemproses bagi laptop bajet 2016 ini, sukar untuk mendapatkan model-model yang menggunakan pemproses AMD. Laptop yang menggunakan pemproses AMD Quad Core A6 dijual pada harga sekitar RM1,499 dan RM1,599. Harga ini pada saya sudah diluar lingkungan bajet dan boleh masuk ke kategori lain.
Saya berminat untuk mengulas laptop-laptop bajet yang djiual dalam lingkungan RM900 hingga RM1,300 dan bagi artikel ini kita mulakan dengan;
Isi Kandungan
Lenovo
Lenovo IdeaPad 100S-11 (Harga saranan RM899)
Ia ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Laptop ultraportable ini menampilkan rekaan yang nipis dan mantap. Sebagaimana rekaan tipikal model-model laptop Lenovo lain, Lenovo IdeaPad 100S-11 masih lagi mengekalkan ciri-ciri rekaan yang amat kukuh.
Pada harga mampu milik, laptop ini menawarkan jam penggunaan bateri maksima sehingga 11 jam. Sesuatu yang pada saya terlalu bagus untuk ditawarkan pada laptop yang di dalam lingkungan harga ini.
Walaubagaimanapun, laptop ini mempunyai kekurangan dari susun atur papan kekuncinya. Bagi anda yang sudah biasa menaip menggunakan papan kekunci desktop, anda tentu berasa janggal apabila menaip dengan laptop ini.
Oleh kerana menggunakan pemproses Intel Atom Z3735F, laptop ini cuma cukup-cukup makan untuk menjalankan operasi-operasi yang simple dan tidak berat. Sekadar menggunakan untuk tugasan dengan Microsoft Office, melayari laman web dan menonton video tu kira lepas la jugak. Cuma, yang bagusnya dengan Intel Atom Z3735F ni, laptop jadi jimat bateri.
Malah, penggunaan storan eMMC yang berkapasiti 32GB menyukarkan pengguna untuk menyimpan lebih banyak fail-fail dan memerlukan storan luaran sebagai sokongan.
Spesifikasi
- Intel Atom Z3735F 1.33GHz boleh mencapai sehingga 1.83GHz
- RAM 2GB DDR3L
- Storan 32GB eMMC
- Grafik Intel HD
- Skrin LED 11.6″ HD
- Tiada pemacu DVD/CD
- Sistem Operasi Windows 10 Home Edition
Lenovo IdeaPad 300-15IBR (Harga saranan RM1,099)
Laptop ini pada hemat saya amat sesuai digunakan untuk menyiapkan tugasan-tugasan berkaitan komputer bagi anda yang sering bergerak (mobile). Walaupun rekaan laptop ini agak berat sedikit, namun kita perlu melihat pula perkakasan apa yang ditawarkan olehnya.
Antara yang ditawarkan adalah pemacu DVD dan ini amat berguna bagi anda yang sering melakukan kerja pemindahan data antara pelbagai media.
Selain itu, RAM yang ditawarkan pada 2GB. Manakala storan pula adalah 500GB. Lebih dari cukup jika anda tidak banyak menyimpan video-video dan hanya menyimpan fail-fail seperti Word, Excel, foto dan sebagainya.
Spesifikasi
- Pemproses Intel Celeron N3060 (1.6 GHz, boleh ditingkatkan hingaa 2.48 GHz, 2 MB cache, 2 teras)
- Memori 2GB DDR3 1600L
- HDD 500GB SATA
- Pemacu terbina dalam DVDRW+/-8X
- Paparan LED 15.6″ HD
- Windows 10 Home Edition
HP
HP Notebook 14-AM065TU (Harga Saranan RM1,149.00)
Model dari HP ini turut menawarkan pemproses Intel N3060 sama seperti laptop Lenovo IdeaPad 300-15IBR. Pemproses yang banyak digunakan pada laptop-laptop bajet sekarang ini. Pun begitu, kuasa pemprosesan Intel ini masih lagi boleh dikirakan agak baik dari segi prestasi keseluruhannya. Itupun jika kita ambil kira penggunaan harian yang biasa tanpa melibatkan penggunaan grafik yang berat seperti bermain game atau membuat animasi 3D.
Apa yang menarik pada laptop ini adalah kapasiti memorinya yang menawarkan 4GB. Kapasiti memori yang besar ini membolehkan kerja-kerja multitasking berjalan dengan lebih lancar. Bagi yang berminat untuk menaik taraf, HP Notebook 14-AM065TU memiliki dua slot RAM, di mana tiap satunya boleh menyokong sehingga 8GB RAM.
Storan yang ditawarkan juga tidak mengecewakan kerana untuk 500GB, anda boleh menyimpan lebih banyak fail tanpa perlu mengusung external hard disk anda sebagai sokongan storan luaran.
Bercerita tentang storan luaran, laptop ini turut menawarkan labuhan satu USB 3.0. Justeru, menawarkan lebih kelajuan dalam pemindahan antara media-media USB dengan laptop ini.
Spesifikasi
- Pemproses Intel Celeron N3060 (1.6 GHz, boleh ditingkatkan hingaa 2.48 GHz, 2 MB cache, 2 teras)
- Memori 4GB DDR3L – 1600 SDRAM
- Storan HDD 500GB 5400 rpm SATA
- Grafik Intel HD 400
- Paparan 14″ Diagonal HD Brightview WLED dengan Backlit (1366×768)
- Sistem Operasi Window 10 Home
ASUS
ASUS X453SA-WX042D (Harga saranan RM1049.00)
Warna yang cantik mungkin menarik minat sesetengah pengguna yang gemarkan nilai-nilai estetika. Memperkenalkan ASUS X453SA-WX042D, laptop anggun pada harga mampu milik. Laptop ini dijual di dalam empat varian warna, hitam, putih, merah jambu passion dan ungu lavender.
Berkapasiti 500GB untuk storan, hard disk HDD laptop ini mampu menyediakan ruang yang cukup bagi pengguna menyimpan pelbagai jenis fail. Selain itu, turut ditawarkan RAM sebanyak 2GB yang mana boleh dipertingkatkan lagi dengan menambah pada slot yang disediakan.
Cuma, pada harga yang ditawarkan ini, tiada sebarang sistem operasi dipasang pada model ini. Pengguna perlu memasangnya sendiri dan bebas untuk memilih mana-mana sistem operasi yang dirasakan sesuai. Tidak kiralah sama ada Linux atau Windows.
Spesifikasi
- Pemproses Intel Celeron N3050 (1.6 GHz, boleh ditingkatkan hingaa 2.48 GHz, 2 MB cache, 2 teras)
- Memori 2GB DDR3L – 1600 SDRAM
- Storan HDD 500GB 5400 rpm SATA
- Grafik Intel HD 400
- Paparan 14.0″ Auto HD (1366×768)
- Sistem Operasi Window 10 Home
- Audio ASUS SonicMaster Technology
- FreeDOS (OS pasang sendiri)
Acer
Acer One 10 S1002-17Y5 (Harga saranan RM999.00)
Bagi anda yang inginkan produktiviti sebagaimana penggunaan laptop dan pada masa yang sama inginkan fleksibiliti laptop, laptop 2-dalam-1 Acer ini merupakan pilihan terbaik anda pada harga bajet.
Laptop ini menawarkan pemprosesan Intel Atom Z3735F yang mampu memberikan penjimatan penggunaan kuasa bateri. Justeru memberikan jam penggunaan yang lebih lama pada prestasi optimum. Takat guna biasa-biasa tu lepas lah, nak main game heavy-heavy tak dapat la cek oi.
Tidak banyak yang dapat ditawarkan pada storannya memandangkan hanya 32GB sahaja yang disediakan. Anda mungkin perlu menggunakan storan awanan atau storan luaran bagi menyimpan fail-fail tambahan.
Spesifikasi
- Intel Atom Z3735F 1.33GHz boleh mencapai sehingga 1.83GHz
- RAM 2GB DDR3L
- Storan 32GB eMMC
- Grafik Intel HD
- Skrin LED 10.1″ HD
- Tiada pemacu DVD/CD
- Sistem Operasi Windows 10 Home Edition