Kerajaan Negeri Pahang telah mengumumkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijadualkan akan bermula pada tahun hadapan. Terdahulu, lapangan terbang yang menelan belanja sebanyak RM2 bilion ini telah diumumkan akan memulakan pembinaannya pada tahun 2022. Walaubagaimanapun, perancangan asal untuk memulakan operasi pada tahun 2026 masih tetap diteruskan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan kelak akan ditempatkan di Gebeng dan merupakan sebahagian dari rancangan untuk mewujudkan bandar aeroangkasa seluas 5,042 hektar menjelang 2050.
Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan dipindahkan untuk menjadi bandar transit bersepadu nasional untuk pengangkutan udara, darat dan laut di Gebeng.
Rancangan untuk lapangan terbang baharu di Kuantan pertama kali diumumkan pada 2019 dan telah menerima kelulusan dari Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Oktober tahun lepas.
Pembinaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta menerusi PahangCorp, manakala operasinya pula akan diuruskan oleh syarikat tujuan khas, Pahang Airport Berhad dengan Gading Group Berhad bertindak selaku pemaju utama.
Pada tahun lalu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bandar aeroangkasa ini akan menjadi hab untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat mengikut piawaian antarabangsa.
Ia disasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 1% daripada nilai pasaran global MRO yang berjumlah RM15 trillion. Bandar berkenaan juga akan mempunyai tapak industri berkaitan penerbangan yang memfokuskan pada pembinaan pesawat dan komponennya.