Utama Internet Kenapa Google Chrome kuat makan RAM dan cara optimumkan prestasi komputer anda

Kenapa Google Chrome kuat makan RAM dan cara optimumkan prestasi komputer anda

1586
4

Google Chrome mungkin adalah pelayar terbaik yang ada buat masa ini, namun penggunaannya terhadap RAM komputer anda sangat tinggi seperti hantu raya melantak nasi. Jika anda melihatnya di task manager (Windows; Ctrl+Alt+Del), anda mungkin terkejut dengan jumlah penggunaan RAM yang amat tinggi oleh aplikasi pelayar Chrome. Berikut adalah penjelasan kenapa Google Chrome kuat makan RAM dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Pelayar web hari ini menjadi semakin kompleks dari hari ke hari dan kebanyakan pengguna tidak menyedarinya atau just take for granted tentang kemajuan ini. Lihat sahaja bagaimana cara kita melayari laman web hari ini dengan cara yang kita lakukan lima tahun sebelumnya. Hampir keseluruhan penggunaan komputer kita hari ini memerlukan penggunaan pelayar web, dari melayari rangkaian aplikasi media sosial, menonton video, menggunakan aplikasi web atau pemalam yang berintegrasi dengan sistem komputer. Pendek cerita, memang banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pelayar web hari ini.

Chrome memisahkan setiap tab, pemalam (plugins) dan sambungan (extensions) untuk diproses secara berasingan. Jadi, andainya salah satunya tergendala – misalnya Flash – ia tidak akan mengganggu laman web berkenaan secara keseluruhannya atau tab-tab yang lain. Ini akan menyebabkan penggunaan RAM yang sangat tinggi akibat Chrome perlu melakukan tugasan berganda bagi setiap tab yang dibuka.

Selain itu, ada juga perkara yang dijalankan di sebalik tabir. Sebagai contoh, ciri prerendering Chrome yang menjadikan laman web dapat dimuatkan dengan lebih pantas merupakan salah satu penyebab penggunaan RAM yang amat tinggi. Tambahan pula insiden “kebocoran memori” (leak memory) sesetengah penyambung (extensions) atau laman web boleh membuatkan penggunaan RAM menjadi semakin tinggi.

Tambahan pula semakin banyak pemalam dan penyambung yang dipasang oleh pengguna, semakin banyak penggunaan RAM yang diperlukan oleh Google Chrome.

Google Chrome Makan RAMSudah pasti, ada sebab kenapa Google Chrome menggunakan banyak RAM; untuk memudahkan pengguna. Kebanyakan dari kita sudah terbiasa menggunakan banyak tab dan sentiasa berkehendakkan laman web dimuatkan dengan lebih pantas, oleh itu penggunaan RAM dari hari ke hari untuk melayari laman web semakin tinggi.

Tambah RAM

Menambah RAM adalah jangka panjang yang dapat menyelesaikan permasalahan penggunaan RAM yang amat tinggi pada aplikasi-aplikasi tertentu termasuklah pelayar web. Hal ini mudah jika anda pengguna komputer desktop, namun bagi pengguna laptop bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan laptop mempunyai ruang menaiktaraf yang terhad.

Untuk itu, pengguna perlu mendapatkan alternatif lain untuk mengoptimumkan penggunaan memori sistem komputer. Antara yang biasa dilakukan adalah menutup aplikasi-aplikasi yang anda dapati besar penggunaan RAMnya melalui tetingkap task manager bagi pengguna Windows (Ctrl+Alt+Del).

Elakkan dari mengguna perisian-perisian scam yang kononnya dapat menjadikan sistem komputer anda lebih pantas dengan mengurangkan penggunaan RAM. Perisian-perisian sebegini hanya merendahkan penggunaan RAM tanpa memberikan sebarang manfaat terhadap prestasi sistem komputer anda.

Chrome Task ManagerJika anda pengguna tegar Google Chrome dan mendapati prestasi komputer anda mengalami kelembapan akibat penggunaan Chrome, anda boleh menggunakan fungsi task manager pada pelayar Chrome. Cara mendapatkannya adalah dengan menekan butang Shift+Esc atau pada tetapan Chrome pergi ke More Tools > Task Manager (untuk pengguna Mac OS pergi ke Windows > Task Manager). Melalui cara ini, pengguna dapat melihat secara spesifik apakah tugasan yang dilakukan oleh Chrome hingga menyebabkan penggunaan RAM yang tinggi dan boleh memilih untuk menutupnya melalui task manager pelayar Chrome.

Selain itu, pengguna boleh memasang pemalam Chrome yang dikenali sebagai The Great Suspender (bukan The Great Spende ya) yang bertindak mengawal penggunaan RAM oleh Chrome dengan menutup beberapa fungsi tertentu untuk mengelakkan berlakunya tergendala ketika pengguna menggunakan pelayar web.

Nota: Pemalam The Great Suspender telah dialih keluar oleh Google kerana didakwa mengandungi malware. Anda mungkin boleh mencuba pemalam-pemalam alternatif lain yang kini masih lagi ditawarkan.

Sehingga bertemu lagi di lain waktu untuk lebih info dan tips berkaitan teknologi maklumat di blog Anak Askar Pencen, blog teknologi kegemaran hangpa semua.

-Imej cover diperoleh dari Pinterest Library World

4 KOMEN

  1. Sekarang saya lebih suka pakai firefox ketika melayari internet. Dulu memang suka pakai chrome tapi kerana selalu terganggu dengan kemasukan virus malware, saya beralih semula kepada firefox walaupun saya melihat chrome lebih menarik dari firefox….

  2. Dulu ada guna jugak chrome kat laptop, lepas tu rasa macam gedabak sgt (mmg gedabak pun kan), aku pon decide utk uninstall chrome n ganti dgn si musang berapi tu saja. Ok la sikit…

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.