Segala apa yang berada di atas muka bumi ini memiliki kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Sistem operasi seperti Windows 10 yang terkini diperkenalkan oleh Microsoft pun tidak dapat lari dari hakikat ini.
Windows merupakan sistem operasi komputer paling popular di dunia yang dihasilkan oleh Microsoft. Berdasarkan laporan terkini, angka bilangan pengguna Windows 10 kini sudah mencecah lebih dari 800 juta pengguna.
Hal sebegini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sistem operasi ini telah pun ‘disogokkan’ oleh Microsoft sejak pengenalannya Julai 2015 yang lalu kepada pengguna-pengguna Windows 7 dan Windows 8.
Oleh kerana ianya kini digunakan oleh lebih dari 800 juta pengguna di seluruh dunia, pastinya ia memiliki ciri-ciri kelebihannya yang tersendiri. Antaranya:
Kelebihan Sistem Operasi Windows 10
Waktu boot yang lebih singkat
Tidak dinafikan, waktu yang diambil untuk menghidupkan komputer Windows 10 adalah lebih pantas berbanding sistem operasi Windows versi yang terdahulu sungguhpun menggunakan pemacu tradisional. Cara Windows 10 memuatkan sistem-sistemnya jauh lebih cekap dan melalui penggunaan pemacu keadaan pepejal (solid state drive), anda tidak lagi perlu menunggu lama untuk mula menggunakan komputer anda.
Antaramuka yang lebih moden dan mesra pengguna
Antaramuka Windows 10 secara ringkasnya adalah ‘jalan tengah’ di antara Windows 7 dan Windows 8. Ia menggabungkan ciri rekaan moden pada Windows 8 dengan paparan mesra pengguna Windows 7. Seterusnya mempermudahkan proses transisi pengguna-pengguna dari Windows 7 atau Windows 8.
Ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan
Kekerapan menerima kemaskini serta Windows Defender yang kini telah dipertingkatkan mutunya menjadikan pertahanan Windows 10 adalah antara yang terampuh dikalangan sistem operasi. Hal ini jauh berbeza ketika era Windows XP yang mana pengguna kerap kali dilaporkan mengalami pelbagai ancaman-ancaman siber.
Lebih sesuai untuk permainan komputer
Dari sudut permainan komputer, Windows 10 turut dilengkapkan dengan DirectX 12. Justeru membolehkan sesebuah komputer berkenaan mampu menyediakan kadar bingkai yang lebih tinggi untuk permainan-permainan komputer yang lebih terkini.
Bagaimanapun, di dunia ini tiada apa yang sempurna kerana setiap sesuatu itu pasti memiliki kekurangannya. Windows 10 juga tidak terkecuali dalam hal ini.
Kekurangan Sistem Operasi Windows 10
Kemaskini automatik secara paksaan
Perkara yang paling menjengkelkan pada Windows 10 adalah fungsi kemaskini automatiknya yang kadangkala menyebabkan sesebuah komputer ‘restart’ secara tiba-tiba. Tiada siapa yang suka dipaksa untuk melakukan sesuatu, namun Microsoft kelihatan tidak mempedulikan tentang hal ini pada kemaskini Windows 10.
Microsoft hanya akan memperkenalkan ciri kawalan pengguna terhadap fungsi kemaskini pada kemaskininya yang akan datang, iaitu May 2019 Update. Itupun, pengguna hanya dibenarkan untuk menangguhkan pemasangan kemaskini sehingga 35 hari sahaja.
Punca mengapa kemaskini ini dipaksakan adalah kerana faktor keselamatan. Malware seperti WannaCry menjadi mudah merebak adalah disebabkan oleh sistem-sistem operasi sesebuah komputer yang tidak dikemaskini.
Kemaskini sebenarnya amat penting untuk keselamatan sesebuah komputer dan niat Microsoft berkenaan sebenarnya tidak ada salah pun sebenarnya. Masalahnya sekarang ini adalah cara kemaskini berkenaan disampaikan kepada pengguna itu yang menjadi kenapa sesetengah pengguna tidak menggemarinya.
Fungsi carian yang tidak konsisten
Mencari aplikasi atau sesuatu fail melalui kotak carian pada Start Menu kadangkala tidak menunjukkan hasil carian yang memuaskan. Kadang-kadang apa yang dicari langsung tidak ditunjukkan sungguhpun aplikasi atau fail berkenaan sememangnya wujud di dalam komputer berkenaan.
Fungsi ini mungkin perlu diberi lebih perhatian oleh pihak Microsoft di dalam kemaskini akan datang. Pengguna tentunya lebih mudah mendapatkan sesuatu aplikasi atau fail-fail terus melalui fungsi kotak carian tanpa perlu menyelongkar folder-folder di dalamnya.
Aplikasi Perisian Remeh (Bloatware) dan Tajaan (Sponsored)
Aplikasi perisian remeh atau bloatware pada kebiasaannya sering didapati pada telefon-telefon pintar Android bajet. Kini, Microsoft nampaknya cuba melakukan perkara yang sama pada Windows 10. Misalnya memasang permainan-permainan kasual seperti Candy Crush diluar pengetahuan penggunanya. Menyahpasangnya mungkin dapat menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa singkat.
Namun, sesetengah pengguna mendapati beberapa aplikasi perisian remeh dipasang sendirinya selepas Windows 10 membuat kemaskini besar (major).
Isu privasi dan pengintipan
Berdasarkan Perjanjian Privasi dan Servis semasa pemasangan Windows 10 dijalankan, Microsoft menyatakan akan mendapatkan maklumat peribadi pengguna secara mendalam, untuk memaparkan iklan paling sesuai kepada pengguna. Bagaimanapun, terdapat kebimbangan di kalangan pengguna bahawa data ini akan disalahgunakan oleh pihak ketiga.
Masalah Registry
Registry di dalam Windows 10 kadangkala menjadi punca kenapa kadangkala komputer anda menghasilkan pepijat-pepijat yang diluar jangkaan anda. Salah satu puncanya adalah aplikasi-aplikasi yang sudah dinyahpasang masih lagi memenuhi ruang registry dan menambahkan entri.
Folder Pemasangan
Folder $USER Windows sememangnya diketahui ruangan yang serabut dengan segala macam fail pemasangan di dalamnya. Namun, di dalam Windows keadaan adalah lebih serabut. Sesetengah aplikasi menggunakan folder berkenaan seperti ‘tapak pelupusan sampah awam’ dan terus kekal di dalamnya hinggakan pengguna tidak boleh memadamkannya tanpa menimbulkan masalah. Tambahan pula Windows tidak menetapkan hirarki menyebabkan pembangun-pembangun membina aplikasi tanpa keseragaman dengan aplikasi lain.
Bagaimanapun, aplikasi-aplikasi UWP (Universal Windows Platform) dari Windows Store tidak mempunyai masalah seperti ini. Salah satu tujuan UWP diwujudkan juga adalah bagi mengatasi masalah ini. Cuma, masalahnya tidak banyak aplikasi-aplikasi arus perdana desktop yang dibina menggunakan platform ini.
Menyahpasang sesuatu aplikasi Win32 atau .NET juga kadangkala menimbulkan beberapa masalah yang diluar jangka. Sesetengah aplikasi yang tidak berkaitan bergantung pada fail yang dipasang oleh aplikasi lain yang tidak ada kena mengena dengannya. Hal ini menyebabkan sesetengah masalah sukar dikenalpasti dan menyukarkan kerja-kerja pembaikan sistem komputer.
Kesimpulan
Sebagaimana syarikat-syarikat lain, keutamaan Microsoft adalah menerima maklumbalas dari penggunanya. Jika penerimaan maklumbalas gagal atau sukar diterima, pastinya ia memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan Microsoft.
Bagi pengguna biasa seperti kita, pastinya kita menerima baik terhadap sebarang penambahbaikan yang disediakan untuk kemudahan pengguna.