Kuala Lumpur hanya berada di belakang Seoul, Korea Selatan dari segi kelajuan muat turun 5G dikalangan bandaraya-bandaraya utama di rantau Asia Pasifik, menurut laporan terkini OpenSignal hari ini.
“The 5G experience in Apac’s biggest cities” menunjukkan kelajuan memuat turun 5G di Kuala Lumpur mencatatkan 376.6 Mbps, 20.3% lebih perlahan berbanding Seoul, yang mencatatkan 453.1 Mbps.
Bagaimanapun, OpenSignal menyatakan faktor tersebut disebabkan oleh situasi semasa pasaran 5G di Malaysia. Buat masa ini, hanya satu pengendali syarikat telekomunikasi yang menggunakan rangkaian borong 5G kebangsaan Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu Yes sejak dari Disember 2021.
Laporan berkenaan juga menyebut bilangan pengguna DNB adalah lebih rendah dan bebanan yang lebih kecil berbanding rangkaian 5G dalam bandar di seluruh rantau Asia Pasifik. Markah nisbah peningkatan kelajuan memuat turun Kuala Lumpur juga berada pada paras 19.0, jauh meninggalkan bandar-bandar utama lain seperti Manila (7.3) dan Bangkok (6.8).
Selain kelajuan memuat turun, kelajuan memuat naik juga turut dibentangkan di dalam laporan tersebut. Kuala Lumpur kini merupakan bandaraya yang mencatatkan kelajuan memuat naik 5G paling pantas di dalam rantau Asia Pasifik. Lebih pantas berbanding Seoul dan Taipei yang masing-masing mencatatkan kedudukan kedua dan ketiga.
Kualau Lumpur mencatatkan kelajuan memuat naik pada 52.8Mbps dengan kelajuan memuat naik 5G di Seoul pula 40.6Mbps. Taipei yang berada di kedudukan ketiga pula mencatatkan kelajuan memuat naik 39.1Mbps.
Bagaimanapun dari segi liputan dan ketersediaan pula, Kuala Lumpur berada di kedudukan yang agak teruk berdasarkan laporan dari OpenSignal tersebut. Untuk ketersediaan rangkaian 5G di Malaysia, hanya 10.9% pengguna yang mendapat sambungan ke rangkaian tersebut, seterusnya menjadi negara keempat dari bawah di kalangan 11 negara-negara rantau Asia Pasifik. Sebagai perbandingan, Seoul mencatatkan (43.4%), diikuti oleh Taipei (30.2%) dan Bangkok (27.7%).
Liputan penerimaan 5G pula, Kuala Lumpur mencatatkan di kedudukan kedua terbawah iaitu 2.5 dari 10 mata, sedikit maju daripada Jakarta yang mencatatkan 0.6.