Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengorak langkah besar teknologi melalui Rancangan Tindakan Bandar Pintar Ipoh. Salah satu yang diperkenalkan oleh pihak majlis adalah memperkenalkan lampu isyarat yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi masalah kesesakan trafik. Usaha ini turut melibatkan kerjasama dari Telekom Malaysia (TM).
MBI dan TM telah memeterai perjanjian langganan perkhidmatan untuk sistem Smart Traffic Light with Intelligence Analytic (STARS). Sistem dikuasakan oleh AI ini berkeupayaan memproses video dari kamera berdefinisi dan analitik bagi menganalisis trafik secara pintar bagi mewujudkan aliran trafik yang lebih cekap.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Mohamed, sistem ini dijangka mampu melancarkan aliran trafik sehingga 51% ketika waktu puncak. Ini akan menjimatkan waktu dan kos bagi pengguna jalan raya, selain turut mengurangkan pelepasan karbon di Ipoh sehingga 7,500 KG.
Lampu isyarat pintar ini telah menjalani pengujian sejak November tahun lalu di empat persimpangan di sepanjang Jalan Sultan Idris Shah. Bagaimanapun, Exco berkenaan tidak menyatakan bilakah sistem ini akan diperluaskan ke jalan-jalan lain di sekitar Ipoh.
Kesemua sistem baharu ini berpusat di Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC) yang berkeupayaan memproses Big Data menggunakan AI dan Internet Benda (Internet-of-Things, IoT). Melalui kerjasama oleh Digital National Berhad (DNB) dan TM, Ipoh akan menjadi bandar pertama di Wilayah Utara yang menerima akses 5G pada kelajuan 1GB per saat.
Selain dari pusat operasi berkenaan, Ipoh juga akan menambah lagi sebanyak 98 tapak 5G di wilayah Ipoh Raya menjelang hujung Oktober ini. Rancangan ini akan diteruskan sehingga seluruh negeri Perak menerima liputan rangkaian 5G.