Utama Telco Celcom SKMM meluluskan Penggabungan Celcom-Digi; Yoodo perlu dijual atau ditutup sepenuhnya

SKMM meluluskan Penggabungan Celcom-Digi; Yoodo perlu dijual atau ditutup sepenuhnya

1111
0

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumumkan kelulusan penggabungan Celcom-Digi selepas kedua-duanya telah menghantar permohonan penggabungan pada Julai 2021. Kedua-dua syarikat telekomunikasi ini akan menjadi syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia mengatasi Maxis.

Menurut SKMM, pihaknya telah mengeluarkan kenyataan kepada kedua-dua syarikat pada April 2022 bagi menyatakan kebimbangan penggabungan ini akan mengurangkan persaingan sihat di dalam industri telekomunikasi. Mengambil maklum mengenai kebimbangan tersebut, Celcom dan Digi telah bersetuju mengambil beberapa pendekatan.

Pemulangan spektrum 70MHz kepada SKMM dari Celcom dan Digi

Antara kesan ketara dari penggabungan ini adalah nyahlabur (divestment) kesemua spektrum 70MHz. Ini merangkumi 10MHz di dalam jalur 1800MHz, 20MHz di dalam jalur 2100MHz dan 40MHz di dalam jalur 2600MHz.

Spektrum berkenaan perlu dipulangkan semula kepada SKMM dalam tempoh 3-tahun dan jalur pertama dari nyahlabur spektrum ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun selepas dimuktamadkan.

Berdasarkan senarai penetapan spektrum SKMM, kedua-dua Celcom dan Digi buat masa ini masing-masing memegang jalur 2600MHz dari spektrum 20MHz yang digunakan untuk rangkaian 4G. Melalui nyahlabur ini, kedua-duanya tidak akan lagi memegang jalur spektrum 2600MHz kecuali dari spektrum yang dipajakkan (leased) dari Altel.

Ketika ini Celcom memegang keseluruhan 115MHz dari spektrum, manakala Digi pula memegang 105MHz secara keseluruhannya. Selepas proses nyahlabur spektrum ini diselesaikan, syarikat telekomunikasi baharu akan terus kekal memegang 150MHz dari spektrum. Jumlah ini lebih besar dari mana-mana syarikat telekomunikasi di Malaysia termasuk Maxis.

Perniagaan MVNO akan diuruskan oleh perniagaan bebas, Yoodo perlu dijual kepada perniagaan bebas lain

Celcom dan Digi perlu mewujudkan sebuah badan perniagaan bebas berasingan bagi menguruskan Mobile Virtual Network Operators (MVNO) di bawah MergedCo dalam tempoh enam bulan selepas penggabungan dimuktamadkan. Ini bagi memastikan pengasingan yang jelas dari perniagaan peruncitan mudah alih MergeCo.

Kedua-duanya juga perlu memastikan kesinambungan akses ke perkhidmatan borong bagi MVNO yang ditawarkan tidak mengalami pengurangan berbanding dari apa yang ditawarkan sekarang.

Salah satu dari syarat pematuhan penggabungan tersebut, Celcom-Digi juga perlu memastikan harga yang saksama, menetapkan harga siling, memansuhkan pengecualian mana-mana perjanjian berkontrak berikat, dan pelaksananaan dasar penggunaan saksama (FUP) bagi memastikan penggunaan berlebihan oleh MVNO dikenakan caj yang sewajarnya. Ini perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun dari penggabungan tersebut dimuktamadkan.

Dalam pada masa yang sama, Yoodo, jenama telekomunikasi digital di bawah jenama Celcom akan dinyahlaburkan juga dalam tempoh 18 bulan selepas penggabungan selesai sebagai sebahagian dari komitmen mereka terhadap SKMM.

Penyahlaburan Yoodo ini juga merangkumi aset ketara dan tidak ketara merangkumi hak harta intelek, guna tenaga warga kerja, kontrak, pajakan dan kesemua pelanggan-pelanggannya. Pemilik baharu Yoodo juga perlu bebas dari Celcom, Digi dan pemegang taruhnya.

Jika Celcom dan Digi gagal menyahlabur Yoodo dalam tempoh 18 bulan dari penggabungan dimuktamadkan, mereka perlu menamatkan operasi Yoodo dalam tempoh tiga bulan selepas luput Tempoh Penggabungan.

Penamatan pengedaran eksklusif di beberapa negeri

Dalam tempoh tiga tahun dari penggabungan dimuktamadkan, Celcom dan Digi perlu menamatkan perjanjian eksklusif dengan pengedar eksklusifnya di Sabah, Labuan, Sarawak, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Celcom dan Digi juga tidak dibenarkan untuk membuat perjanjian eksklusif dengan pengedar eksklusif berkenaan atau mana-mana pengedar di dalam negeri-negeri berkenaan melainkan mendapat kelulusan dari SKMM dalam tempoh tersebut.

Produk Celcom dan Digi perlu diletakkan di bawah satu jenama korporat

Penggabungan ini juga turut menyatakan produk-produk Celcom dan Digi perlu ditempatkan sebagai produk di abwah satu jenama korporat MergeCo.

Tidak dapat dipastikan sama ada perkhidmatan pascabayar dan prabayar Celcom dan Digi akan digabungkan di bawah satu jenama yang sama atau terdapat satu jenama baharu yang akan ditambah seperti penjenamaan Axiata pada produk-produk Celcom.

Celcom dan Digi turut berjanji untuk mengutamakan meminimumkan kesan terhadap kualiti perkhidmatannya sepanjang tempoh penggabungan ini.

MergedCo Celcom-Digi juga telah mengusulkan untuk melabur sebanyak sehingga RM250 juta dalam tempoh 5 tahun untuk membina Pusat Inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi peneraju revolusi digital global. Pusat inovasi berkenaan juga dikatakan akan menjadi tulang belakang di dalam kajian lanjutan dan pembangunan melibatkan teknologi 5G, AI dan Internet Benda (IoT).

Ketika penggabungan Celcom-Digi diumumkan pada tahun lepas, telah dicadangkan Axiata dan Telenor masing-masing akan memegang 33.1%, diikuti oleh badan-badan pelaburan Malaysia lain seperti KWSP, PNB, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang kesemuanya memegang sebanyak 19.2%. Ini merupakan usaha penggabungan yang kedua dilakukan selepas penggabungan membentuk Axiata dan Telenor sebagai syarikat telekomunikasi terbesar ASEAN gagal dilakukan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.