Kebanyakan pengeluar telefon pintar utama dunia telah pun memperkenalkan model boleh lipat masing-masing dan kini Apple juga dikatakan akan melakukan langkah yang sama. Terdapat pelbagai ura-ura mengenainya dengan ada sesetengahnya yang kelihatan tidak konsisten. Baru-baru terdapat pula laporan yang mendakwa iPhone boleh lipat gaya katup akan diperkenalkan pada tahun 2026.
Dakwaan ini datangnya daripada The Information yang mengatakan telefon pintar ini telah “melepasi peringkat konseptual” dan sedang “dalam pembangunan dengan pembekal.” Ia dilaporkan akan dirujuk secara dalaman sebagai V68 dengan syarikat berpangkalan di Cupertino tersebut sedang berusaha menumpukan pada mengurangkan kesan kedutan apabila lipatannya dibuka.
Peranti boleh lipat dari Apple keluaran 2026 yang diuar-uarkan tersebut tidak hanya berlegar sekitar melibatkan iPhone gaya katup sahaja. Terdapat juga ura-ura yang mengatakan tablet boleh lipat yang kononnya akan menggantikan iPad mini serta kemungkinan melibatkan peranti yang lebih besar seperti MacBook.
Apa pun, masih terlalu awal untuk membuat telahan kemungkinan tersebut kelak akan menjadi realiti. Untuk tahun ini, tumpuan lebih kepada model-model iPhone yang dikatakan akan didatangkan dengan perkakasan yang dinaiktaraf bagi menampung keperluan ciri-ciri kecerdasan buatan (A.I.).