Utama Apple Kabel USB-C iPhone 15 dikatakan hanya mampu sokong kelajuan sehingga USB 2.0...

Kabel USB-C iPhone 15 dikatakan hanya mampu sokong kelajuan sehingga USB 2.0 sahaja

116
0
iPhone USB-C

Tinggal lebih kurang dalam tiga minggu sahaja sebelum Apple mengumumkan iPhone generasi berikutnya. Minggu lalu, terdapat ura-ura yang mengatakan ada model iPhone yang akan menyokong Thunderbolt untuk pemindahan data yang lebih pantas. Pun begitu, terdapat satu lagi khabar angin terbaru yang mendakwa kabel USB-C yang disertakan bersama-sama di dalam kotak iPhone 15 kelak hanya menyokong kelajuan USB 2.0 sahaja.

Kebanyakan sumber desas-desus mengenai iPhone 15 dilihat bersepakat telefon pintar berkenaan akan menggunakan port USB-C menggantikan Lightning. Seperti yang kita sedia maklum, USB-C mempunyai banyak kelebihannya seperti ketersesuaian dengan peranti lain, sokongan pengecasan pantas dan juga pemindahan data yang lebih laju.

Cuma setakat ini masih tidak diketahui bagaimana Apple akan memanfaatkan port USB-C pada iPhone 15 kelak. Awal bulan ini, pentiris maklumat telah menunjukkan port USB-C untuk iPhone baharu. Menurut pakar, komponen berkenaan menggunakan cip Retimer seperti yang terdapat pada peranti Thunderbolt, membolehkan pemindahan data pada kelajuan sehingga 40Gbps.

Terdapat imej tertiris yang menunjukkan kabel USB-C beranyam yang dikatakan buatan Apple. Kabel sepanjang 1.5 meter ini dikatakan boleh didapati dengan pelbagai pilihan warna seperti biru, merah jambu, dan kuning. Penyelidik Majin Bu mendakwa telah mendapatkan beberapa perincian mengenai kabel tersebut yang mungkin mengecewakan sesetengah pengguna yang menantikan iPhone 15.

Menurut penyelidik berkenaan, kabel tersebut merupakan USB 2.0 sungguhpun mempunyai penyambung USB-C. Kelajuan pemindahan data melalui USB 2.0 hanya terhad pada 480Mbps, sama dengan penyambung Lightning. Jika benar dakwaan ini, berkemungkinan iPhone baharu tidak menawarkan sokongan yang lebih pantas seperti yang terdapat pada telefon pintar andalan (flagship) lain.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.